KEDAH – Hampir 60 penagih dadah ditahan polis dalam serbuan di kawasan Taman Nilam, Kampung Kisap dan Kampung Belanga Pecah baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superitendan Harith Kam Abdullah berkata, operasi yang dijalankan adalah bagi membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
Jelasnya, penangkapan mereka ini tidak akan dihentikan setakat ini, sebaliknya polis akan terus memantau kawasan berkenaan.
“Operasi ini tidak akan dihentikan malah kita telah menjalankan tiga operasi besar-besaran sebelum ini di kawasan tersebut bagi menghalang penagih serta tokan dadah menjadikan kawasan tersebut sebagai lokasi dadah mereka.
“Dalam operasi itu, kita telah menahan hampir 60 penagih atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Antaranya seorang yang ditahan mengikut Seksyen 39 (A) 1 Akta Dadah Berbahaya 1952; dua mengikut Seksyen 12/2 kerana memiliki dadah; Seksyen 30 (3) Akta Racun kerana memiliki daun ketum (tiga) dan Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah (54).
Operasi berkenaan difahamkan dilakukan selepas laporan Sinar Harian pada 23 Januari lalu bertajuk ‘Kampung jadi port dadah’ yang mendedahkan kegiatan berkenaan secara berleluasa.
Kesan daripada kegiatan itu, penduduk mengalami kerugian gara-gara peralatan menangkap ikan termasuk besi sering menjadi sasaran penagih untuk mendapatkan wang.
Sementara itu, Harith mendedahkan polis mengesan dua lagi lokasi panas yang digunakan pengedar dadah bagi menjalankan aktiviti mereka di sekitar Taman Nilam dan Bukit Malut.
“Kita telah mengenalpasti lokasi-lokasi tersebut tindakan segera akan dilakukan bagi membanteras aktiviti ini hingga ke akar umbi.
“Kita mahukan penduduk serta pelancong yang berada di pulau ini berasa selamat dan dapat menjalankan aktiviti seharian tanpa gangguan,”katanya. - Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment