Uruguay – Luis Suarez kini dibelengu dengan masalah yang bukannya melibatkan kerjayanya, sebaliknya membabitkan neneknya, Maria Josefa Reyes .
Maria mendakwa ibu Suarez iaitu Susan telah menghalaunya keluar dari rumah mewah mereka selepas berlaku perselisihan faham.
Dia yang kini menetap di rumah orang tua-tua berkata, Suarez langsung tidak mempedulikannya dan tidak berhubung lagi dengannya.
“Luis tentu tahu apa yang berlaku tapi dia tidak langsung menghubungi saya. Dia dan abangnya, Paulo, hanya melakukan apa yang ibu mereka suruh. Susan telah mempengaruhi mereka,’’ katanya.
Menurut Maria, sebelum ini dia hidup bahagia di pangsapuri yang merupakan sebahagian daripada rumah yang dibeli oleh Suarez beberapa tahun lalu di pantai Solymar, berhampiran bandar Montevideo.
“Saya telah balik ke Solymar beberapa hari lalu dan melihat Susan di dalam rumah itu, selain barang dalam rumah yang telah kosong.
“Susan telah menghalau saya dan menghantar saya menaiki bas untuk pulang ke Salto di rumah anak lelaki saya,’’ katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Suarez berkata, dakwaan Maria berhubung perselisihan faham dalam keluarga itu adalah tidak benar dan keluarga mereka masih bersatu.
Manakala Paulo pula yang bermain bola sepak untuk Guatemala pula berkata, tuduhan Maria itu telah memburukkan imej dia dan abangnya.
“Ia juga menyebabkan kami amat sedih kerana kami umpama orang yang jahat.
“Nenek saya pulang ke Salto untuk menyambut krismas bersama bapa saudara saya dan dia mula meminta wang daripada kami kerana tidak tahan dengan nenek saya.
“Kami kemudiannya menyuruh bapa saudara saya menghantar nenek saya pulang ke rumah kami tapi mereka pula tidak mahu, dengan alasan nenek saya suka tinggal di Salto,’’ katanya.

0 comments:
Post a Comment