JOHOR BAHRU – Pengayuh basikal solo Wan Hashim Wan Mahmood yang sedang berbasikal mengelilingi Semenanjung tiba di Johor Bahru hari ini.
“Saya rasa nak menitis air mata apabila sampai di Johor Bahru. Perjalanan memang sukar kerana perlu menempuh cuaca panas serta jalan berbukit,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Wan Hashim, 68, memulakan misinya di sini pada 26 Jan lalu dan sudah berkayuh sejauh 705 kilometer.
Bapa kepada enam orang anak ini telah melalui negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Beliau berkata, sebelum tiba di Johor Bahru, seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor Bahru, Sahid Selamat, 40, turut mengiringi kayuhannya sejauh 40 kilometer dari Kota Tinggi.
“Saya berbesar hati kerana Sahid turut menyedia tempat tinggal serta
makanan semasa saya di Kota Tinggi,” katanya.
Wan Hashim berkata, beliau akan memasuki Singapura hari ini sebelum meneruskan perjalanan ke Melaka esok.
“Hari ini saya akan memasuki Singapura kerana ingin bertemu anak saya yang berada di Arab Street,” katanya.
Beliau seterusnya akan memasuki Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Pulau Pinang, Kedah sebelum misinya berakhir di Padang Besar, Perlis.
Beliau turut dijangka memasuki Thailand dan meneruskan perjalanan ke Sungai Golok sebelum pulang ke Kota Baharu melalui sempadan di Rantau Panjang.
Misi kayuhannya dengan jarak keseluruhan kira-kira 2,000 km yang dijangka mengambil masa sebulan bertujuan memberi mesej berkaitan kesihatan dan riadah kepada orang ramai. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment