Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, February 3, 2014

No Comment

KUCHING – Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Bujang Ulis, 66, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Semariang Jaya, Petra Jaya di sini, awal pagi ini.

Allahyarham yang juga bekas Timbalan Menteri Perusahaan Utama meninggalkan seorang isteri Maimunah Sebli, 58, dan tujuh orang anak perempuan berumur antara 12 hingga 36 tahun.

Menurut anak sulung Allahyarham, Siti Azimah, 36, bapanya rebah pada kira-kira 1 pagi di pangkuan ibunya ketika berada di dalam bilik, sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.30 pagi.

“Arwah sempat menonton televisyen ketika di dalam bilik sebelum rebah di pangkuan ibu. Sepanjang pengetahuan kami sekeluarga, arwah ayah tidak mempunyai sebarang penyakit kronik,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Allahyarham.

Beliau berkata, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang selepas solat Zuhur hari ini.

Allahyarham sebenarnya mempunyai sembilan anak perempuan, bagaimanapun dua daripadanya meninggal dunia dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Batu Kawa di sini pada malam terakhir bulan Ramadan 1998.

Antara yang dilihat hadir menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya ialah anggota Kabinet Sarawak antaranya Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Simunjan) dan Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Adun Asajaya).

Turut hadir bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Ahmad Urai Abang Mohideen dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Jamil Johari.

Allahyarham yang nama sebenarnya Bujang @ Bujang Hadziri Ulis yang ketika itu anggota Parlimen Simunjan dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada 1980-1983 dan sebagai Timbalan Menteri Pelajaran mulai 1984-1986.

Pada 1983, Allahyarham dipilih sebagai Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan undian tertinggi.

Bagaimanapun, Allahyarham mengisytiharkan keluar dari PBB pada 1986. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment