PUTRAJAYA – Keluarga penumpang Penerbangan MH370 yang menginap di sebuah hotel di sini mungkin boleh dilibatkan dengan pelbagai aktiviti sementara menanti perkhabaran terbaharu operasi mencari dan menyelamat.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam Dr Abdul Jalil Hassan berkata antara yang boleh dilakukan termasuklah melawat ke tempat-tempat tertentu untuk merehatkan minda.
“Setakat ini tiada yang bawa mereka keluar dari kawasan ini. Tetapi memandangkan hotel ini berhampiran pusat beli belah, ada keluarga yang berkunjung ke sana untuk menenangkan fikiran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tengah malam tadi, wartawan Bernama turut bertembung seorang daripada bapa penumpang yang dilihat keluar dari pintu utama hotel.
“Minum,” katanya ringkas dan kemudiannya dilihat kembali semula ke hotel sejam kemudian.
Abdul Jalil berkata selepas lapan hari menginap di hotel, mereka perlu melakukan sesuatu yang baharu selain daripada menonton televisyen di bilik penginapan untuk mengikuti perkembangan semasa.
Sementara itu, Abdul Jalil berkata keluarga terlibat juga dilihat semakin tenang terutamanya selepas mendengar perkembangan terbaharu operasi mencari dan menyelamat Penerbangan MH370 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
“Mungkin kita tengok kesan daripada pengumuman itu, bagaimana seorang ibu atau ayah yang anaknya terlibat dalam insiden ini mampu untuk berkomunikasi tanpa rasa sedih. Itu mungkin saya ingat disebabkan penerimaan berita.
“Sebelum ini kita tengok lapan hari kita tunggu tak ada jawapan. Tetapi semalam sekurang-kurangnya kita dapat sedikit jawapan walaupun tidak sepenuhnya.
Tetapi itu sekurang-kurangnya melegakan mereka,” katanya.
Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal menuju ke Beijing dilaporkan hilang sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu lepas. Pesawa itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari yang sama. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment