Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, March 18, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Negara-negara yang terlibat dalam perjanjian TPP bersetuju untuk tidak mempertikaikan dasar Malaysia berkaitan isu halal, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu dimuktamadkan pada mesyuarat perjanjian TPP peringkat menteri di Singapura Februari lepas.

“Terdapat kemajuan dalam beberapa perkara yang dirundingkan, dalam isu berkaitan halal, kata sepakat dicapai mengenainya (halal) oleh negara perjanjian TPP untuk dikecualikan daripada skop.

“Bermakna tidak ada mana-mana negara yang berhak untuk mempertikai dasar Malaysia berkaitan halal,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini.

Mustapa berkata, pada mesyuarat berkenaan, tujuh perkara diperhalusi iaitu akses pasaran yang melibatkan rundingan untuk menurunkan tarif ke atas barangan tertentu seperti keluaran pertanian; perolehan kerajaan; syarikat berkaitan kerajaan; isu alam sekitar; buruh; hak harta intelek dan pertikaian pelaburan.

Menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai hasrat Korea Selatan untuk menyertai perjanjian TPP, Mustapa berkata negara, TPP tidak berhasrat untuk menerima Korea Selatan dan beberapa negara lain menyertai rundingan itu buat masa ini.

Jelasnya perkara itu dipersetujui bersama memandangkan banyak isu dan masalah perlu diselesaikan antara 12 negara TPP.

“Kita turut membincangkan hasrat Korea dan negara lain untuk menyertai perjanjian TPP, namun setakat ini, kita merasakan lebih baik diteruskan dengan 12 negara kerana kita perlu memberi tumpuan sewajarnya dalam menyelesaikan isu membabitkan 12 negara itu,” katanya.

Rundingan TPP membabitkan Australia, Brunei, Chile, Kanada, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Mustapa berkata sehingga kini Malaysia belum memuktamadkan hasrat untuk menyertai perjanjian TPP berkenaan meskipun ada beberapa negara yang berhasrat memuktamadkannya Disember tahun lepas.

“Kita tidak dalam keadaan tertekan atau mengejar masa dalam membuat keputusan mengenainya selagi isu-isu yang timbul belum lagi diselesaikan,” katanya.

Mustapa berkata perbincangan terakhir dengan pihak terbabit, termasuk dengan kokus Parlimen, ialah pada Februari lepas sebelum perbincangan selanjutnya di Singapura pada bulan yang sama.

Namun, katanya setakat ini belum ada kata putus dicapai.

Tambahnya lagi, beliau menghargai pandangan serta teguran daripada anggota kokus Parlimen yang terdiri daripada pihak pembangkang dan penyokong kerajaan.

“Kerajaan akan tetap mengekalkan pendirian bagi menjaga kepentingan negara dan dasar-dasar yang telah termaktub sebelum membuat keputusan muktamad mengenai perjanjian ini,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment