Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, June 18, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia memperkenalkan varian  terbaharu dalam keluarga BMW 4 Series iaitu BMW 4 Series Gran Coupé Serba Baharu.

Ia menandakan pengenalan pertama sedan eksekutif coupé kompak empat pintu yang memiliki keseimbangan sempurna di antara fungsi terbaik dan sofistikasi sebuah coupé yang luar biasa. 

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Dr. Gerhard Pils berkata, BMW 4 Series Gran Coupé Serba Baharu memiliki elemen 'sporty' elegan dan moden yang luar biasa dalam segmen kenderaan bersaiz sederhana.

"Model BMW ini adalah untuk pelanggan yang mahu tampil berbeza dan ingin diberi perhatian dalam segmen tersebut. 

"Ini kerana jentera tersebut menawarkan rekaan luaran dan dalaman terbaik. Selain kecekapan serta aspek sporty yang terbaik dalam kelasnya," jelasnya ketika pelancaran BMW 4 Series Gran Coupe Serba Baharu pada Selasa.

Dengan garis bumbung yang memanjang, ia nyata menyerlahkan keanggunan dan kehebatan  perkadaran rekaan sebuah coupé BMW. BMW 4 Series Gran Coupé Serba Baharu telah menetapkan satu penanda aras baharu dalam segmennya sendiri melalui prestasi dinamik yang tiada tandingan, keselesaan luar biasa dan versatiliti mengagumkan. 

Dr. Gerhard Pils disamping BMW 4 Series Gran Coupé Serba Baharu
Sebagai tambahan kepada kemudahan mengakses dan keselesaan tempat duduk untuk para penumpang, pintu belakang yang boleh dibuka dengan luas serta kapasiti kargo terbaik dalam kelasnya, ia sememangnya menyumbang kepada tarikan emosional dan kepelbagaian fungsi untuk digunakan pada setiap hari buat  BMW Coupé empat pintu  ini.

Di bawah hudnya, terletak sebuah enjin BMW TwinPower Turbo penuh kuasa yang menawarkan prestasi dinamik, tetapi menjimatkan bahan api dan kurang emisi. 

Direka dengan pakej BMW EfficientDynamics,  BMW 428i Gran Coupé  Serba Baharu menampilkan satu bentuk jangkaan penukaran gear yang baru untuk mode Sport dan pemanduan selesa (Comfort). 

Sistem ini membolehkan penukaran gear dapat dilakukan secara lebih efektif untuk disesuaikan dengan  permukaan jalan raya di hadapan demi maklum balas yang lebih pantas dan sporty (mode Sport) atau program penukaran jumlah gear yang lebih sedikit serta fokus kepada aspek keselesaan (mode Comfort). 

Reka bentuk: BMW 4 Series Gran Coupé Serba Baharu memberikan tanggapan serta-merta menerusi garis bumbung yang panjang, rekaan tingkap sisi dan bukaan pintu belakang luas bersama kontur-kontur yang diadun secara harmoni dengan rekaan keseluruhannya.  

Secara perbandingannya, BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu berkongsi dimensi sama dari segi panjang, lebar, tinggi, tapak roda dan trek dengan varian BMW 4 Series Coupé yang elegan. 

Menjadi model sports coupé empat pintu yang pertama, perbezaan ketara di antara BMW 428i Gran Coupé serba baharu dengan BMW 4 Series Coupé adalah garis bumbungnya yang 112mm lebih panjang. 

Kelebihan itu memberikannya transisi yang lebih beransur ke bahagian belakang, sebelum dipadankan dengan empat buah pintu tanpa bingkai yang menyerlahkan karekteristik tersendiri BMW Coupé.


Perkadaran coupé yang sempurna pada BMW 4 Series Gran Coupé Serba Baharu dibuat bagi menawarkan ruang kepala lebih luas untuk semua tempat duduk, terutama demi keselesaan penumpang belakang.

Ia juga menawarkan ruang kargo lebih luas dengan kapasiti keseluruhan sebanyak  480 liter, 35 liter lebih besar berbanding model coupe dua pintu.

Sementara itu, tingkap sisi ketiga menampilkan pintalan Hofmeister yang menjadi tanda kempa BMW. Rekaan yang ada pada BMW 4 Series Gran Coupé serba baharu itu meningkatkan pandangan penumpang di tempat duduk belakang yang ditinggikan, bersama tingkap belakang yang besar.

Ia nyata menawarkan pandangan keseluruhan yang lebih baik. Di belakang, kereta ini menampilkan pintu yang boleh dibuka secara automatik menerusi sistem Comfort Access.

Dijadikan sebagai satu ciri standard, ia membolehkan urusan meletak dan mengeluarkan barang dari kompartmen menjadi semakin mudah. Sistem bukaan dan menutup tanpa sentuhan ini hanya memerlukan pergerakan kaki di bahagian bawah bampar belakang.  

Bagi meningkatkan aspek aerodinamik, menjimatkan bahan api dan mengurangkan seretan, reka bentuk BMW 428i Gran Coupé serba baharu memiliki ciri Air Breathers yang tersendiri pada pelindung roda hadapan.

Di samping ciri Air Curtains pada hujung bahagian kiri dan kanan hadapan kereta. Garis-garis yang ekspresif, lampu utama yang menyerlah, lampu belakang berbentuk L dan inlet udara lebih rendah diadun untuk membentuk siluet sebuah sports coupé empat pintu yang sempurna, selain penampilan yang lebih atletik dan berkuasa.

Pakej M Sport yang ditawarkan itu bukan sahaja meningkatkan elegan semula jadi BMW 428i Gran Coupé untuk penampilan lebih menyerlah di atas jalan raya, malah menambah sentuhan dinamiknya.

Enjin: Kecekapan, Dinamik dan Keselesaan Luar Biasa.Nadi kepada BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu ialah teknologi BMW TwinPower yang telah terbukti dan dipadankan dengan transmisi sport Steptronic lapan kelajuan.

Ia turut merangkumi paddle shifter di bahagian belakang stereng dan sistem Kawalan Pelancaran bagi menawarkan kombinasi sempurna di antara kuasa mengagumkan, pengunaan bahan api yang cukup menjimatkan serta kurang emisi.

BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu dilengkapi enjin petrol empat silinder bersesaran 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 kW / 245hp dan tork puncak 350Nm.

Kereta ini boleh memecut dari 0 hingga 100km.j dalam tempoh 6.1 saat dengan kelajuan maksimum 250km/j. Ia juga merekodkan penggunaan bahan api yang rendah iaitu 6.6 liter bagi setiap 100km dan emisi CO2 luar biasa, 154 gram bagi setiap 100 kilometer.

Dilengkapi dengan rangkaian penuh teknologi BMW Efficient Dynamics, BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu dibina untuk menawarkan kecekapan, dinamik dan keselesaan yang luar biasa. Dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan automatik dan Navigation System Professional, ciri tambahan BMW Efficient Dynamics termasuklah Driving Experience Control dengan mode ECO PRO dan fungsi Coasting.

Semua ini nyata menawarkan keseronokan pemanduan yang menjimatkan dan tiada tandingan. Ia adalah ciri baharu yang menawarkan strategi penukaran gear untuk mode Sport dan Comfort.

Data daripada sistem navigasi dibekalkan kepada unit kawalan transmisi bagi membolehkan perubahan strategi penukaran gear dibuat untuk disesuaikan dengan jalan raya di hadapan. Sama ada untuk maklum balas yang sporty dan pantas, (Mode Sport) atau program penukaran gear yang fokus kepada keselesaan (mode Comfort).


Ruang Dalaman: Ruang dalaman BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu menggabungkan aspek sporty serta  kefungsian dengan bahagian kokpit yang sporty dan elegan.

Ia bagi dipadankan dengan  upholsteri kulit Dakota yang mendasari ambien premiumnya. Demi menawarkan tahap ergonomik yang terbaik dalam kelasnya, sports coupé empat pintu ini dipasang dengan panel instrumen bulat berwarna hitam dan sistem kawalan iDrive termaju yang beriorientasikan kepada pemandu.

Menjadi signatur kepada kenderaan BMW, sistem itu terdiri daripada satu skrin monitor serta iDrive dengan Touch Controller.Sejajar dengan rekaan sebuah coupé, pintu belakang BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu membolehkan penumpang untuk keluar dan masuk dengan mudah.

Pintu hadapannya yang lebih pendek pula memudahkan ia diparkir di ruang yang sempit. Bentangan 2+1 untuk tempat duduk belakang BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu membolehkannya dilipat dengan konfigurasi 60/40 bagi menambah fleksibiliti dan menukar ruang kargo 480 liter menjadi seluas 1,300 liter  yang selari dengan lantai kompartmen.

Tempat duduk berkontur dengan ruang lega kepala 11mm untuk pemandu dan 27mm bagi penumpang belakang menyediakan keselesaan maksimum (pilihan bumbung suria ditawarkan untuk M Sport).

Apa yang pasti, BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu mengukuhkan kedudukannya selaku peneraju dalam aspek ketersambungan di dalam kereta dengan satu set ciri BMW ConnectedDrive yang komprehensif.

Ia merangkumi ketersambungan Bluetooth, aplikasi-aplikasi BMW dan BMW Live yang telah dipertingkatkan. Satu ciri penting pada BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu adalah kemampuan dinamiknya yang luar biasa dan digabungkan dengan kualiti pengendalian serta stereng berketepatan tinggi.

Direka menggunakan binaan ringan yang pintar dan konsep pendakap inovatif, coupé empat pintu ini memiliki badan yang sangat tegar tetapi ringan untuk kestabilan maksimum.

Sebagai tambahan, fungsi Servotronic digunakan untuk mengubah sudut stereng serta memberi maklum balas kepada corak pemanduan berbeza. Ia disertakan sebagai satu ciri standard.

Suspensi Adaptif M yang ada pada BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu membolehkan pemandu memilih mode Sport dan Comfort yang mengubah talaan stereng kereta berdasarkan kepada kondisi jalan raya.

Di sebalik kemampuan dinamik yang luar biasa, BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu tetap menawarkan para penumpang dengan keselesaan seperti sebuah sedan.

Teknologi chasis yang cemerlang dan sistem peredam pada gandar belakang jentera empat pintu ini sememangnya meningkatkan tahap keselesaan untuk penumpang belakang. Menggunakan Driving Experience Control untuk memilih mode Sport +, Sport atau Comfort, BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu nyata menawarkan kelincahan dan pemanduan selesa yang tiada tandingan.

BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu didatangkan dalam warna putih (Alpine White), merah (Melbourne Red), perak (Glacier Silver), kelabu (Mineral Grey) dan Jatoba Metallic.

Sementara warna tambahan seperti hitam (Carbon Black) dan biru (Estoril Blue) adalah eksklusif untuk varian BMW 428i Gran Coupé M Sport serba baharu.

Bagi menambah penampilannya yang elegan dan sporty, BMW 428i Gran Coupé Serba Baharu menawarkan pilihan upsholteri dalaman seperti kulit hitam (Dakota Black) dengan kemasan merah, kulit Dakota putih (Dakota Oyster) dengan kemasan hitam atau kulit Dakota merah (Dakota Coral Red) dengan kemasan hitam.

Sementara itu, varian BMW 428i Gran Coupé M Sport Serba Baharu pula menawarkan pilihan kulit hitam (Dakota Black) dengan kemasan hitam, kulit Dakota putih dengan kemasan hitam atau kulit Dakota merah dengan kemasan hitam.

Harga jualan anggaran (di atas jalan, tidak termasuk insurans dengan BMW Service + Repair Inclusive (BS+RI) ) untuk BMW 4 Series Gran Coupé baharu adalah:

BMW 428i Gran Coupé -RM 389, 800.00

BMW 428i Gran Coupé M Sport-RM 418, 800.00

Sumber: mStar

0 comments:

Post a Comment