Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, June 24, 2014

No Comment
Ewa dibawa ke Hospital Kuantan untuk rawatan akibat parah di lutut kiri selepas 
diserang seekor buaya di Sungai Rompin.

ROMPIN – Seorang lelaki berketurunan Orang Asli yang bekerja sebagai penangkap udang galah dan tinggal di rumah rakit dekat Sungai Rompin berhampiran Kampung Tebu Hitam, di sini, nyaris maut selepas diserang seekor buaya.

Mangsa, Ewa Judak, 34, parah di bahagian lutut selepas haiwan liar itu menggigit anggota badannya ketika dia baru selesai mandi pada petang Sabtu lalu.

Adik ipar mangsa, Kamis Hawa, 30, berkata, ketika kejadian, dia sedang bersembang dengan isteri mangsa dan secara tiba-tiba terdengar jeritan Ewa meminta tolong serta menyuruhnya menghulurkan tombak.

Menurutnya, dia bergegas ke luar rumah dan terkejut melihat Ewa sedang mengerang kesakitan selepas kakinya digigit buaya berkenaan.

“Saya tidak sempat mencapai tombak dan bergegas ke luar rumah untuk melihat Ewa.

“Alangkah terkejut kerana saya dapat melihat dengan jelas kepala buaya kira-kira setengah meter lebar sedang menggigit kaki Ewa,” katanya.

Kamis berkata, dia pantas membantu Ewa dengan mengampu kedua-dua belah ketiak Ewa dan menariknya agar dapat melepaskan diri daripada gigitan haiwan itu.

“Ewa kemudian berusaha membuka mulut buaya menggunakan kedua-dua belah tangannya sambil kaki kanannya menunjal kepala buaya untuk melepaskan diri.

“Akhirnya Ewa dapat melepaskan diri dan buaya tersebut berundur lalu saya segera bawa masuk Ewa ke dalam rumah serta meminta bantuan penduduk kampung untuk membawanya ke Hospital Rompin,” katanya.

Menurut Kamis, Ewa yang tinggal di rumah rakit berkenaan bersama isterinya bernasib baik kerana ketika kejadian, Ewa mandi di atas kayu balak yang menjadi pelampung rumah rakit sekali gus menyebabkan buaya berkenaan tidak dapat bertindak agresif.

“Saiz buaya itu agak besar menyebabkan ia tersepit di celah batang balak berkenaan dan tidak dapat bertindak agresif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Tebu Hitam, Ab Wahab Abdul Rani berkata, kali terakhir kejadian serangan buaya di Sungai Rompin sekitar 1970 dan mangsa sempat menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.

“Sudah lama tidak berlaku kejadian seperti ini yang semestinya menimbulkan kebimbangan penduduk dan pemancing luar untuk mencari rezeki di sungai.

“Diharap orang ramai lebih berhati-hati ketika memancing di sungai Rompin agar kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Sumber - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment