Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, June 16, 2014

No Comment

SHAH ALAM – Usul hudud ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hanya dimainkan oleh media, bukan Barisan Nasional (BN) negeri, kata Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Shamsudin Lias.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah bercadang mengemukakan usul itu kerana tidak mempunyai banyak soalan untuk ditanya dan dibahaskan dalam persidangan itu.

“Mana ada… kita tidak pernah pun sebut soal usul. Kita hanya sebut pembangkang (BN) akan kemukakan soalan berkaitan hudud. Ia dalam bentuk soalan, bukan usul.

“Apabila media menulis, mereka katakan BN Selangor nak kemukakan usul dan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh pula tanpa usul periksa mengatakan persetujuannya,” katanya kepada wartawan selepas sesi persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Ke-13 di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Shamsudin berkata, apabila isu ‘usul hudud’ itu diperbesarkan secara meluas, beliau segera memaklumkan kepada Hannah mengenai salah faham itu dan Speaker pula seolah terikut-ikut dengan laporan media.

Sebab itu katanya, sebaik sahaja sesi DUN bermula, Hannah menegur dan memberi peringatan kepada wakil pembangkang iaitu BN agar tidak mempermainkan sidang dewan, pihaknya tidak memberi sebarang reaksi atau maklum balas.

“Kerana kita tahu Hannah juga salah faham dan dia percaya bulat-bulat laporan media daripada penjelasan yang kita berikan kepadanya tiga hari sebelum DUN bersidang,” katanya.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik ada memberitahu media baru-baru ini, yang beliau bersama rakan pembangkang akan bertanyakan soalan mengenai hukum hudud.

Bagaimanapun, katanya, kenyataan itu telah diputarbelitkan oleh media propembangkang dengan laporan kononnya Sungai Air Tawar hendak kemukakan usul hudud.

“Kita tahu, hudud yang diperbincangkan sejak tahun 1993 oleh Pas Kelantan ini telah dijadikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah dan kerajaan Pusat juga telah mencadangkan agar ditubuhkan jawatankuasa teknikal hudud di peringkat pusat.

“Jadi, soal perbincangannya untuk mendapatkan persetujuan biarlah dilakukan di peringkat Dewan Rakyat. Kita di Dewan Negeri hanya boleh berbincang dan berbahas sahaja. Itu yang BN Selangor maksudkan,” katanya.

Ditanya apakah menarik balik usul yang sudah mendapat kelulusan Yang Dipertua Dewan sebagai suatu yang memalukan, Shamsudin yang juga ADUN Sungai Burong berkata, pembangkang di negeri yang diperintah oleh BN juga pernah menarik usul mereka.

Ujarnya, soal menarik balik usul adalah perkara biasa jika satu-satu pihak itu mendapati ia tidak sesuai didebatkan.

Hannah hari ini memberi peringatan keras kepada pihak pembangkang (BN) dan kerajaan yang diwakili Pas, PKR serta DAP supaya tidak menjadikan DUN berkenaan sebagai wadah mainan politik murahan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada penarikbalikan usul hudud yang dikemukakan Kamarol Zaki untuk dibahaskan dan telah mendapat kelulusan DUN untuk dibahaskan.

Sidang DUN Selangor bersambung esok selepas ditangguhkan sehingga jam 12 tengah hari ini oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sumber: Malaysia Gazzete

0 comments:

Post a Comment