PERKATAAN
'sedekah' yang diulang sebut oleh penerbit terkenal, David Teo sebanyak
dua kali dalam sebuah program sensasi televisyen terhadap Allahyarham
Bob Kuman mencetuskan polemik.
David yang
sering mengeluarkan kenyataan celupar kali ini menyebabkan Saiful Apek
hilang sabar. Sahabat baik Bob Kuman itu meluahkan perasaan tidak puas
hatinya dalam laman sosial Twitter dan Facebook. Apek menyelar David dan
menuntut tauke Metrowealth International Group Sdn. Bhd. (MIG) itu
memohon maaf secara terbuka.
Tuntutan Apek
itu mendapat pelbagai respons termasuk media arus perdana. David akur
dengan kecaman Apek dan membuat satu kenyataan menerusi e-mel, Khamis
lalu.
Masih tidak
puas hati dengan bahasa David yang dianggap kurang beradab, Apek
kemudian tampil dengan tuntutan-tuntutan sampingan termasuk
memperjuangkan isu bayaran tertunggak berjumlah RM200,000. Dakwa Apek,
bayaran itu sepatutnya dilangsaikan David hasil kutipan filem lakonannya
dalam filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali, lima tahun lalu.
Permohonan maaf
David sebelum ini dianggap belum cukup untuk membasuh luka dan hina
terhadap keluarga Allahyarham Bob. Tidak sahaja hutang lakonan dan
pelaburannya, pelawak itu turut menuntut David membayar tunggakan
puluhan artis serta kru yang lain.
"Tanggungjawab
nombor satu saya ialah menuntut David supaya membayar hutang maaf secara
terbuka, bukan menerusi e-mel tetapi menerusi media elektronik.
"Dia (David)
keluarkan kenyataan menerusi media elektronik jadi permohonan maaf juga
harus dengan media elektronik. Memang David tiada hutang duit dengan
arwah Bob, dia cuma ada hutang maruah kepada arwah dan keluarga arwah.
Itu sahaja," jelas Apek saat dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.
Sensasi Bintang
juga difahamkan Apek bersama sekumpulan artis serta kru penggambaran
akan mengadakan sidang media tergempar. Selain itu, Apek didakwa akan
mengemukakan bukti-bukti penyelewengan pemilik rumah produksi gergasi
itu.
Sensasi Bintang: Boleh namakan artis yang akan hadir untuk menuntut hak mereka nanti?
SAIFUL APEK:
Terlebih dahulu saya minta maaf, saya tak boleh nak nyatakan di sini.
Biarlah mereka hadir dulu ke sidang media berkenaan dan barulah
masyarakat akan tahu dengan sendiri. Jika tidak dapat, saya memang mahu
merakamkan luahan mereka untuk dipertontonkan kepada media pada sidang
media berkenaan.
Adakah David Teo digesa hadir ke sidang media berkenaan?
Saya memang tak jemput tapi kalau David dan pihaknya ada rasa tanggungjawab, maka kehadiran mereka dialu-alukan.
Masalah ini nampaknya sudah berlarutan daripada satu isu kepada satu isu, apa sebenarnya tuntutan Apek?
Nombor satu,
saya mahu tuntut hutang maruah dan permohonan maaf secara terbuka. Minta
maaf menerusi e-mel tidak beri erti. Cara David bercakap kepada Melodi
lain, dan cara dia hantar e-mel juga lain. Memandangkan David dan MIG
ada masalah dengan ramai artis dan kru penggambaran, sidang media itu
juga akan perjuangkan soal bayaran yang selama ini tidak diketahui pihak
luar. Ramai yang takut mahu buka mulut sebab sayangkan periuk nasi.
Kenapa tak guna persatuan atau peguam untuk selesaikan soal bayaran itu?
Saya tak
berniat nak ketepikan persatuan seni dalam soal ini. Media sudah buat
hebahan dan saya yakin persatuan sudah sedar perkara ini. Saya amat
berbesar hati jika ada pihak persatuan yang mahu turun padang
bersama-sama saya nanti. Soal peguam pula, saya memang sedang berbincang
dengan peguam. Saya sudah lantik peguam yang baharu untuk kendalikan
kes ini. Kes saya dulu pernah dibicarakan di mahkamah, tapi hingga ke
hari ini, saya sendiri tidak tahu apa statusnya.
Anda sendiri ada hubungi David berhubung isu bayaran itu?
Saya sudah puas
saya turun naik pejabat MIG, sekarang tak guna lagi berdiam diri. David
sendiri tidak hubungi saya, tapi seorang stafnya ada menghantar pesanan
menerusi Twitter seolah-olah memperlekehkan saya. Tak mengapalah, saya
berani kerana benar. - kosmo!
0 comments:
Post a Comment