Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, June 10, 2014

No Comment

BANDUNG – INDONESIA. Pengamal media Malaysia dan Indonesia memiliki peranan strategik untuk mencorak pemikiran rakyat bagi menjadikan mereka masyarakat yang dinamik di rantau Asean, kata Pengerusi Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (Yirmi) Datuk Abdul Aziz Shahar.

Beliau berkata menerusi penyaluran maklumat yang seimbang oleh media, boleh menyemai rasa kekitaan dalam kalangan rakyat di Malaysia dan Indonesia, agar mereka menjadi bangsa yang berjaya.

Katanya media dengan jaringan yang luas seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Indonesia, Antara, sangat berperanan dalam mencipta suasana damai, kondusif dan tenteram di kedua-dua negara.

“Penulisan (berita) adalah bidang yang besar kepada masyarakat dan ia boleh mencorak pemikiran masyarakat di Asia Tenggara terutama di Malaysia dan Indonesia yang mempunyai banyak persamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis silaturrahim bersama pegawai kanan Bernama dan Antara sempena Sidang Kemuncak kedua-dua agensi berita berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Yirmi turut meraikan para wartawan kanan agensi media Bandung.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh yang juga Pengerusi Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) bagi Malaysia serta Ketua Pegawai Eksekutif Antara, Saiful Hadi yang juga Pengerusi Iswami bagi Indonesia.

Aziz turut berharap media dapat memainkan peranan mereka secara efektif dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

“Saya amat berharap jika ada salah faham (antara Malaysia dan Indonesia), tidak perlu diperbesarkan. Yirmi akan sentiasa menyokong bukan sahaja dalam bidang penulisan, malah kerjasama dari segi bahasa, budaya dan ekonomi.

“Saya hairan kenapa kita tidak boleh berjaya sedangkan kita ada kemampuan dan kemahiran…yang penting kita perlu ada kerjasama, barulah kita boleh menjadi bangsa yang kuat dan berjaya,” katanya.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment