Pada awalnya tindakan untuk membuat gaya Gwiyomi hanya sekadar suka-suka. Tetapi dalam pada dia meraih tontonan mencecah lebih satu juta di Youtube, siapa sangka aksinya itu turut ditonton oleh penyanyi asal lagu tersebut iaitu bintang dari Korea, Hari.
Ketika kunjungannya ke tanah air baru-baru ini, Hari menyifatkan video parodi Gwiyomi Nora adalah yang terbaik pernah ditontonnya. Malah Hari menyatakan hasrat mahu berkolaborasi dengan pelakon comel ini.
“Saya rasa sungguh terharu. Tak sangka dalam banyak-banyak parodi, dia tengok video saya. Saya terkejut bila dapat tahu dia sukakan video tu. Saya buat video tu pun mulanya hanya sekadar suka-suka”, kata Nora Danis tatkala diminta mengulas mengenai kenyataan Hari itu.
Tambah Nora yang ditemui pada sidang media Anugerah Skrin 2013, dia sememangnya berbesar hati sekiranya dapat berjumpa dengan penyanyi berusia 23 tahun itu. Namun pertemuan mereka tidak dapat dibuat kerana masing-masing sibuk dengan kerja.
“Sepatutnya memang saya nak jumpa dia. Tapi saya dapat tahu saat-saat akhir dan masa tu pula saya sangat sibuk. Jadi tak dapat lah kami berjumpa”, katanya.
Sementara itu, Nora yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem Anugerah Skrin 2013 meluahkan rasa syukurnya atas percalonan tersebut. Nora tercalon menerusi filem Mencari Cinta.
“Dalam pada timbul cerita-cerita gosip saya, sekurang-kurangnya ada pihak yang melihat bakat saya. Bagi saya percalonan ini untuk keluarga saya yang banyak menyokong saya walau dalam apa pun keadaan”, katanya yang sudah berkecimpung dalam dunia lakonan selama 10 tahun.
Perkembangan lain, Nora buat pertama kali bakal muncul menerusi teater Bahayanya Wanita yang akan dipentaskan pada 20 hingga 0 Disember depan. Teater yang mengisahkan kehidupan berpoligami ini turut dibarisi bintang hebat lain seperti Umie Aida, Erra Fazira, Zizan Razak dan Johan As’ari. – Malaysian Digest
0 comments:
Post a Comment