Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, November 14, 2013

One Comment

TIDAK syak lagi, di KL air menjadi salah satu penyebab stres. Bayangkan awal pagi di bilik mandi, ketika seluruh tubuh telah dilumur dengan sabun, dan buih syampu di kepala belum berbilas, tiba-tiba air paip terhenti.

Puas batang paip digoyang, kepalanya diketuk, tetapi tidak ada air. Memang tertekan, malah anda mungkin menjerit sambil menumbuk dinding. Percayalah jika jeritan didengar hingga sepuluh kilometer pun, air tetap tidak keluar.

Bekalan air dihentikan tanpa sebarang amaran! Terimalah hakikat yang kini sudah menjadi sebahagian ciri hidup moden di kota metro. Kediaman mewah dengan semua kelengkapan canggih berkelas dunia, tetapi paip kering. Apa ertinya batang cantik, kepala molek, jika tidak berair.

Gangguan bekalan air secara mendadak @ tanpa jadual semakin kerap berlaku. Seperti yang diakui sendiri oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bilangan kes mendadak ini meningkat setiap tahun di seluruh negara, daripada 214,270 pada 2011 menjadi 238,542 kes pada 2012.

Ada kemungkinan kecemasan ini semakin mengancam pada tahun-tahun mendatang. Bayangkan betapa kelam-kabut keadaan apabila pada hari kenduri kahwin di rumah anda, tiba-tiba air terhenti dari paip. Pinggan-mangkuk bertimbun untuk dicuci, tetapi air tidak ada. Pasti semua tetamu pulang tanpa mencuci tangan.

Betapa pula halnya jika pada hari keramaian itu ada tetamu atau mana-mana anggota penanggah tiba-tiba senak perut dan terpaksa berwalimatulurus di dalam tandas. Tentu dia ternganga dalam seribu kebingungan apabila setelah urusan perut selesai baru disedari paip tidak berair.

Lebih malang lagi sekiranya ada kematian, dan pada saat jenazah hendak dimandikan, paip buat hal. Memang anda boleh menghubungi syarikat bekalan air, tetapi mungkin terpaksa menunggu sejam dua sebelum lori tangki tiba, dan pengurusan jenazah tergendala.

Seperti yang diuar-uarkan kita menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi dalam masa beberapa tahun dari sekarang. Tetapi apa erti status negara maju sekiranya keselesaan di bilik mandi dan tandas kita selalu terganggu. Gaji tinggi pun boleh menjadikan kita tidak selesa sekiranya tidak dapat mencuci kencing dan berak.

Lebih menyakitkan hati apabila diberitahu bahawa air bersih kita dibazirkan begitu banyak setiap saat di seluruh negara. Ketika kita tidak berair untuk membilas syampu di kepala, ada berbilion liter air melimpah, menyembur, dan memancut di tempat yang tidak sepatutnya.

Menurut SPAN, seperti yang dilaporkan media, jumlah air bersih @ dirawat yang terbuang terus meningkat, bukan dalam kadar bilion, tetapi trilion (laksa). Pada tahun lalu hampir 2 trilion liter air bersih terbuang di dalam longkang.

Jumlah yang dibazirkan itu cukup untuk membekalkan air setiap rumah di seluruh negara selama 189 hari, atau dapat memenuhkan 797,600 kolam renang bersaiz Olimpik.

Begitulah banyaknya air bersih kita yang terbuang setiap tahun.

Penyebab utama pembaziran ini ialah kerosakan dan kebocoran berlaku pada batang paip yang menyalurkan sumber penting itu ke seluruh negara. Sebahagian besar – kira-kira 43,890 kilometer – saluran paip kita sudah melepasi jangka hayat. Batang paip lama yang dibuat daripada simen-asbestos mula dipasang sejak berdekad lalu, dan sepatutnya diganti baharu sekarang.

Tetapi untuk menukar semuanya sekali gus, akan mengambil masa 20 tahun, dan kos berbilion ringgit diperlukan. Pendek kata, kerja-kerja membaik pulih dan menukar batang lama kepada batang baru – diperbuat daripada tembaga atau besi tanpa karat –akan dilakukan secara berperingkat.

Maka sementara menanti batang baharu dipasang, sebahagian besar kawasan termasuk di KL, terpaksa bergantung kepada batang lama yang semakin uzur. Ertinya dengan batang serba buruk dan rapuh, bila-bila masa sahaja kita akan menghadapi gangguan bekalan air tanpa amaran. Sekiranya berlaku batang pecah di kawasan anda, paip di rumah pasti tidak berfungsi.

Jadi, malam nanti @ malam Jumaat, fikir dulu ketika masuk ke bilik tidur. Jangan terlalu bersemangat, sebab takut-takut subuh esok paip tidak berair, dan sepanjang hari anda tidak boleh sembahyang! - SinarOnline

1 comments:

  1. Jangan terlalu bersemangat, sebab takut-takut subuh esok paip tidak berair, dan sepanjang hari anda tidak boleh sembahyang! << kan boleh tayammum dalam keadaan darurat? kenapa pulak tiada air jadi alasan tidak solat sepanjang hari?

    ReplyDelete