Annas (tengah) bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan My-Sutera Laila Satria Suhaimi (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan My-Sutera Zakbah Harun di gedung Canggih di Shah Alam.
MUNGKIN tak ramai orang mahu ambil risiko berniaga pakaian sekolah. Ia boleh diibaratkan seperti perniagaan bermusim dan aktiviti pengeluaran hanya sibuk hujung tahun.
Namun, risiko dan cabaran ini menjadikan My-Sutera Sdn Bhd (My-Sutera), syarikat pengeluar jenama pakaian seragam sekolah, Canggih, begitu kukuh sesuai dengan kedudukannya sebagai pengeluar dan pengedar jenama pakaian sekolah terbesar di Malaysia.
Bermula dengan pelaburan kira-kira RM20 juta bagi tujuan pengambilalihan syarikat daripada KUB Tekstil Sdn Bhd pada 2007, My-Sutera yang dipengerusikan Annas Ahmad terus mengorak langkah memastikan jenama Canggih kekal bertahan di pasaran dengan kualiti dan mutu pakaian terbaik.
Cabaran getir bermula sebaik usaha mengambil alih pada 7 September 2007 memandangkan syarikat mengendalikan jenama ini sebelum itu mengalami kerugian besar.
“Pada masa itu kami bukan sahaja terpaksa menanggung jumlah kerugian yang besar tetapi turut berdepan masalah lain seperti modal dan kewangan memandangkan kami perlu menampung kos pekerja selain kos pengeluaran yang tinggi.
“Kami bukan memulakan perniagaan baru, tetapi mengambil alih sebuah perniagaan yang sedang tenat. Apa yang dilakukan pada awal tempoh pengambilalihan jenama ini adalah untuk memberi nafas baru dari segi pengurusan dan strategi pemasaran,” katanya.
Canggih berdepan persepsi negatif
Sama seperti kebanyakan syarikat yang baru hendak memulakan perniagaan, My-Sutera juga berdepan dengan pelbagai persepsi negatif pihak lain.
“Pinjaman kewangan pada waktu itu sukar diluluskan, apatah lagi mereka menganggap perniagaan ini tidak mampu dipulihkan. Tetapi syukur Alhamdulillah, persepsi itu berjaya ditangani dan kami buktikan jenama Canggih masih relevan,” katanya.
Menurut Annas, cabaran yang datang seterusnya lebih hebat kerana syarikat itu tetap perlu menghasilkan, menjual dan mengekalkan produk Canggih di pasaran di sebalik masalah kewangan yang dihadapi.
"Pengeluaran perlu diteruskan dan pada masa sama, kami perlu fikir bagaimana untuk mengoptimumkan keuntungan.
“Sekali lagi kami berdepan masalah untuk tembusi pasaran sangat kompetitif kerana Canggih dijual pada harga tinggi, sesuai dengan kualitinya yang tinggi," katanya.
Namun, beliau berkata kini My-Sutera boleh berbangga apabila Canggih terus terpahat di hati pelanggan tetap mereka selain berjaya meraih kembali kepercayaan dan keyakinan institusi kewangan.
Bakal perkenal produk baru
Selepas 18 tahun beroperasi sejak ditubuhkan pada November 1995, jenama Canggih akan terus mengorak langkah dengan menghasilkan produk baru.
Jika sebelum ini Canggih memberi fokus terhadap pengeluaran dan pengedaran pakaian seragam untuk sekolah rendah dan sekolah menengah, menjelang tahun depan, pengguna juga boleh mendapatkan kasut sekolah jenama Canggih selain pakaian ko-kurikulum Canggih.
Malah pelajar juga boleh mendapatkan barangan aksesori Canggih sebagai pelengkap hari persekolahan mereka.
“Bukan itu sahaja kami juga akan membangunkan produk baru berasaskan fabrik khas bagi menghasilkan pakaian seragam untuk anggota bomba, tentera, polis dan syarikat swasta yang sekarang ini banyak dihasilkan di luar negara seperti di Perancis, Jerman dan Itali.
"Jadi Canggih mahu menapak selangkah lagi dalam industri ini dengan menghasilkan jenama sendiri di Malaysia. Selain itu, Canggih juga akan memperkenalkan pakaian sukan Canggih dan fesyen berorientasikan sekolah untuk kanak-kanak,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan syarikat itu, Annas berkata pada masa ini My-Sutera akan memberi fokus kepada dua cawangan butik Canggih yang beroperasi di Kajang dan Damansara.
0 comments:
Post a Comment