KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO) mesra pembangkang, Jingga13 merancang menghantar satu memorandum bantahan kepada pihak pengurusan Astro esok.
Setiausaha Jingga13, Dk.Vicknesvaran berkata, memorandum itu bagi membantah tindakan stesen televisyen berbayar itu menaikkan kadar perkhidmatan langganan bulanan ke atas orang ramai.
“Kami membantah Astro menaikkan kadar yuran langganan bagi pakej keluarga dan sukan masing-masing sebanyak RM2 dan RM6 bermula 24 November ini.
“Memorandum bantahan ini akan dihantar ke pejabat Astro pada pukul 11 pagi,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Vicknesvaran dalam satu kenyataan baru-baru ini mendakwa, Astro mengambil kesempatan untuk melipat gandakan keuntungan syarikat tanpa mempertimbangkan bebanan yang terpaksa ditanggung pelanggan.
Malah, katanya, tiada alasan untuk Astro berbuat demikian kerana syarikat itu mengumumkan perolehan RM2.3 bilion untuk enam bulan pertama dalam tahun kewangan berakhir 31 Januari 2014 dengan peningkatan sebanyak 13 peratus perolehan.
Sehubungan itu, Vicknesvaran mendesak Astro membatalkan kenaikan kadar perkhidmatan yang berkuatkuasa 24 November 2013 tersebut demi kepentingan orang ramai terutama pengguna Astro.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia yang menjadi pelanggan Astro supaya memboikot kenaikan pembayaran tersebut dan Jingga13 akan turut melancarkan gerakan boikot bagi memastikan Astro menghentikan kenaikan kadar perkhidmatan tersebut.
0 comments:
Post a Comment