PUTRAJAYA – Masyarakat India di negara ini akan menikmati kehidupan yang lebih baik dengan kepentingan dan masa depan masyarakat itu akan terus dijamin di bawah kerajaan sedia ada, kata Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.
Beliau berkata di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kebajikan dan tuntutan kaum ketiga terbesar di negara ini terus diberi tumpuan khas, terutama dalam meningkatkan taraf sosioekonomi.
“Peruntukan sebanyak RM100 juta dalam Bajet 2014 bagi meningkatkan pencapaian pelajaran, latihan kemahiran dan peluang perniagaan, jelas membuktikan komitmen dan keperihatinan kerajaan terhadap masyarakat India.
“Pengumuman perdana menteri itu ternyata menggembirakan masyarakat India dalam suasana sambutan Deepavali tahun ini. Masyarakat India di negara ini pastinya akan menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya dalam perutusan Deepavali beliau.
Sambil mengucapkan ‘Selamat Hari Deepavali’ kepada penganut Hindu dan Sikh, Palanivel berkata Deepavali yang akan disambut esok akan lebih bermakna dan bercahaya sekiranya masing-masing benar-benar memahami dan menghayati maksud sebenar perayaan itu – cahaya menerangi kegelapan.
Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata perayaan itu juga perlu digunakan sebagai peluang untuk menzahirkan perpaduan erat antara kaum di negara ini.
“Sambutan Deepavali di negara ini bukan sahaja meriah bahkan juga unik jika dibandingkan dengan negara-negara lain, kerana ia disambut bersama-sama kaum lain yang berlainan agama, tradisi dan latar belakang.
“Saya berharap masyarakat India khususnya penganut Hindu dan Sikh menyambut Deepavali tahun ini dengan penuh gembira, dengan harapan besar perayaan berwarna -warni itu akan membawa kebaikan, kesejahteraan dan keharmonian dalam kehidupan kita,” katanya.
Beliau berkata sebagai perayaan nasional, Deepavali tidak lagi terbatas kepada masyarakat India sahaja, sebaliknya rakyat Malaysia menganggapnya sebagai perayaan Malaysia.
Dalam pada itu, Palanivel berkata perdana menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadiri sambutan Deepavali anjuran MIC di perkarangan kuil Batu Caves esok, bermula 9 pagi hingga 2 petang.
Lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum dan latar belakang termasuk pelancong asing dijangka menghadiri rumah terbuka itu. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment