SEREMBAN – Ketua Pembangkang kini berhak menggunakan bilik menunggu orang kenamaan (VIP) Cempaka – yang berada di rangking ketiga daripada lapan bilik eksklusif yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dari segi rangking, bilik paling eksklusif ialah bagi golongan VVIP dan pembesar seperti raja, permaisuri, perdana menteri, timbalannya, dan yang dipertua negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.
Pemimpin luar negara juga berhak menggunakan bilik menunggu yang terletak di Kompleks Bunga Raya KLIA.
Bilik di rangking kedua ialah Anggerik, sementara keempat ialah Melor, diikuti dengan Melati, Seroja, Tanjung dan Kemuning.
VIP lain yang turut dibenar menggunakan bilik Cempaka ialah Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Speaker Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Timbalannya, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan serta Hakim Mahkamah Rayuan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata arahan berkenaan digunakan oleh pihak berkuasa berikutan penempatan semula operasi lapangan terbang dari Subang ke Sepang.
Penempatan semula berkenaan bermula sejak 1998.
“Kita mengambil keputusan untuk mengkaji semula perkara ini berikutan penempatan semula operasi daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz ke KLIA kerana di sana terdapat lebih banyak kemudahan,” katanya.
Bilik Anggerik adalah dikhaskan kepada Ketua Hakim Negara, Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, bekas perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta balu mereka.
Ali berkata pengerusi pelbagai suruhanjaya yang ditubuhkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Hakim Mahkamah Tinggim Pengerusi Perkhidmatan Tribunal Awam, Pesuruhjaya Kehakiman, Ketua Audit Negara, Gabenor Bank Negara dan Datuk Bandar Kuala Lumpur layak menggunakan bilik Melor.
Sementara pegawai kerajaan gred B, pengerusi serta ketua badan berkanun kerajaan persekutuan dan tetamu kerajaan pula boleh menggunakan bilik Seroja.
Bilik Tanjung dan Kemuning pula dikhaskan kepada pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan beberapa syarikat swasta – pada kadar yang rendah. – mStar Online
0 comments:
Post a Comment