KUALA LUMPUR – Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam) menyokong saranan supaya mempertingkatkan kadar penembusan insurans dan takaful daripada 54 peratus kepada 75 peratus menjelang tahun 2020.
Presidentnya, Vincent Kwo berkata, pihaknya menyokong objektif berkenaan seperti yang disebut dalam kertas konsep Insurans Hayat dan Takaful Keluarga untuk Semua (LIFE).
“Kami turut menyokong usaha mempertingkatkan tahap profesionalisme dalam industri insurans.
“Satu jawatankuasa telah dibentuk dalam LIAM untuk menjalankan penilaian terperinci pelbagai cadangan dan petunjuk prestasi utama yang dicadangkan dalam kertas konsep itu,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Vincent berkata, adalah penting untuk semua pihak berkepentingan termasuk ejen, pengedar dan syarikat insurans bekerjasama untuk mencapai matlamat itu.
Menurutnya, langkah liberalisasi seperti yang disebut dalam kertas konsep itu bermanfaat untuk pembangunan jangka panjang sektor insurans hayat dan takaful.
“Adalah diharapkan kita akan melihat peningkatan kecekapan operasi pengedaran insurans hayat, akses yang lebih luas kepada sektor yang kurang serta inovasi dalam produk dan perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya.
Jelasnya, cadangan itu juga sejajar dengan usaha kerajaan untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dengan jaminan kestabilan sosial rakyat melalui insurans hayat dan perlindungan takaful.
“Usaha ini akan disokong oleh LIAM dan kami tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memacu industri ke arah pertumbuhan yang lebih baik,” katanya.
0 comments:
Post a Comment