Kuala Lumpur – Sebanyak 7,385 tikus di Pasar Jalan Raja Bot atau Pasar Chow Kit, di sini, berjaya dihapuskan dalam Kempen 1 tikus 1 ringgit bermula Januari tahun ini sehingga kelmarin.
Perkara itu selaras dengan matlamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membendung pembiakan tikus di sekitar ibu kota di samping menyediakan kehidupan yang selesa bagi penduduknya.
Timbalan Ketua Pengarah, Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, daripada jumlah tangkapan tikus itu menunjukkan keprihatinan pemilik restoran dan penjaja untuk menjaga kebersihan dan menghapuskan rumah tikus yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung.
“DBKL akan meneruskan Kempen 1 tikus 1 ringgit sehingga 2014 dan operasi pembersihan di Pasar Chow Kit sekali setiap bulan bermula Disember ini bagi mewujudkan persekitaran yang moden dan selesa bagi penjaja dan pengunjung.
“Jika penjaja masih berdegil dan tidak menjaga kebersihan, DBKL mungkin terpaksa menutup pasar selama seminggu bagi tujuan pembersihan dan ini pasti akan menyebabkan kerugian lebih besar,” katanya.
Mohd Amin Nordin yang ditemui ketika sidang media Penutupan dan Operasi Pembersihan Pasar Jalan Raja Bot (Chow Kit) turut berkata, kerjasama daripada Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) juga mampu membantu pihaknya membersihkan pasar berkenaan yang kotor dan berbau busuk.
“Kebiasaannya tikus akan mencari kawasan yang kotor dan dipenuhi dengan sampah untuk hidup dan peniaga perlu membuang sampah ke dalam tong yang disediakan untuk mengurangkan masalah ini.
“Sebanyak lapan tong sampah disediakan di tiga kawasan yang berbeza di sekitar pasar supaya dapat memudahkan peniaga membuang sampah makanan dan kini kita akan tambah lagi dua tong sampah berkapasiti 20 tan,” katanya.
Katanya, DBKL juga mengambil peluang untuk menurap dan membaiki jalan di kawasan Pasar Chow Kit sehingga hari ini bagi memberi keselesaan kepada penjaja dan pengunjung.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd Zin Hassan, pihaknya menyediakan lebih 18 jentera untuk mengangkut sampah daripada Pasar Chow Kit dan menyembur air di kawasan yang sukar dibersihkan. – Harian Metro
0 comments:
Post a Comment