New Delhi – Seorang wanita yang berusia 25 tahun, dapat hidup dan bertahan hingga kini meskipun dia tidak boleh makan makanan pejal dan hanya bergantung kepada cecair sejak dilahirkan.
Manju Dharra, dari Sonipat, berhampiran New Delhi, minum empat hingga lima liter susu setiap hari dan turut mengambil teh serta air.
Dia menghidap penyakit yang dikenali sebagai achalasia dan akan muntah jika cuba makan makanan pejal.
“Jika saya makan sesuatu, saya akan terus muntah menyebabkan saya berasa takut jika melihat makanan,’’ katanya.
Di sebalik kekurangan berkenaan, Manju boleh melakukan kerja seharian dan sihat, namun mengalami sakit perut.
Ketika dilahirkan ibunya tidak berasa pelik dengan keadaan itu hinggalah dia berusia dua tahun, apabila dia cuba menyuapkan makanan berupa nasi atau roti kepada anaknya itu.
Apabila Manju muntah, ibunya hanya menyangka anaknya itu salah makan dan hanya selepas ia berterusan barulah dia mengetahui bahawa anaknya sakit.
Keluarganya telah membawa Manju berjumpa dengan beberapa orang doktor namun semua rawatan yang diberikan gagal.
Mereka hanya menemui doktor biasa dan tidak dapat membawa Manju menemui doktor pakar kerana tidak mampu membayar kos perubatan atau pembedahan.
Kebiasaannya pembedahan dapat membantu memulihkan semula keadaan pesakit achalasia.
Manju mempunyai enam adik beradik dan kesemua adik beradiknya sihat serta tidak mengalami keadaan seperti Manju.
0 comments:
Post a Comment