TAHUN lalu, tiket untuk konsert ‘Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari’ di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor dijual dengan harga RM88 sehingga RM698.
Jika anda merasakan harga RM698 itu agak mahal, mungkin anda akan terkejut jika kami katakan tiket persembahan ‘Terindah Anuar Zain’ sempena Minggu Setiausaha di Hotel One World, Petaling Jaya pada 8 April 2014 nanti naik sekali ganda harganya.
Berharga RM480, RM680, RM980 dan RM1,380, tiket tersebut akan dijual mulai 7 Februari 2014 melalui TicketCharge, memetik blog hiburan Budiey.com.
Bagaimanapun, Anuar mempunyai jawapan yang tersendiri untuk harga tiket yang mahal itu:
“Harga itu sebenarnya berpatutan kerana ia merangkumi makanan yang sedap, door gift yang lumayan, kualiti persembahan terbaik dan saya memberi peluang kepada para peminat untuk mendekati diri saya. Suasana yang lebih intim berbeza dengan konsert. Kita juga menjanjikan susunan muzik yang lebih segar dan mantap bersesuaian dengan tema majlis iaitu ‘Terindah’. Ia hadiah ikhlas dari saya kepada peminat yang hadir nanti.”
“Peminat adalah bisnes untuk saya. Mereka juga banyak memberi sokongan kepada saya dalam membina karier dan kerana mereka saya berada sehingga ke tahap ini. Justeru dengan penganjuran Minggu Setiausaha di bawah syarikat sendiri, saya yakin dapat memberi persembahan terbaik demi kepuasan peminat setimpal dengan sokongan yang mereka berikan selama ini.”
Berdasarkan rekod Anuar sebelum ini, kami yakin harga tiket semahal itu tidak akan menjadi masalah buat para peminat fanatiknya.
Iyalah, bukan senang dapat peluang untuk menyaksikan ‘Jejaka Idaman Malaya’ ini menyanyi di depan mata.
Untung-untung, Anuar menyanyi sampai datang ke meja. Tak gitu?
Oleh: ELZA
(Sumber asal: Budiey.com)
0 comments:
Post a Comment