Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, February 2, 2014

No Comment

KUALA  LUMPUR – Bukit Megawati di Jalan Persiaran Menteri di Seksyen 7 terletak di Shah Alam, Selangor tenang seperti biasa. Ia tidak sesibuk jalan-jalan lain di ibu negeri Selangor itu.

Namun dalam ketenangan itu, ia menyimpan banyak sejarah termasuk sejarah jatuh bangkit ahli politik bergelar Menteri Besar (MB)  Selangor.

Sejak pemilihan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil DUN Kajang selepas wakil rakyatnya berundur diri – sekali lagi isu MB Selangor muncul semula.

Kali ini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula menjadi tumpuan kerana Anwar disebut-sebut mengambil alih jawatan eksekutif itu bagi meredakan perselisihan dua kem yang dinamakan sebagai usaha menjadikan negeri itu sebagai launch pad menakluki kerajaan Pusat milik Barisan Nasional (BN).

Jika ia berlaku, Abdul Khalid bukan MB pertama yang terpaksa berundur dari Bukit Megawati.

Sebelum itu, Datuk Harun Idris yang menjadi MB Selangor dari tahun 1964 hingga 1976 terpaksa meningggalkan jawatan itu atas desakan politik kerana didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Kemudian, Tan Sri Ahmad Razali Mohd. Ali ketika menjadi MB dari tahun 1982 sehingga beliau meletakkan jawatan pada tahun 1986.

Politik juga dianggap puncanya. Beliau pernah dibaling kerusi semasa mesyuarat UMNO di Kampung Pandan dan kekecohan berlaku semasa perayaan Thaipusam sehingga mencederakan ramai orang ketika beliau hadir.

Selepas meletakkan jawatan pada tahun 1986, tempatnya diambil alih oleh Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Lebih dikenali sebagai Mat Taib atau Mike Tyson- tokoh itu cukup popular baik daripada aspek membangunkan Shah Alam dan diselubungi kontroversi.

Sebagai wartawan baru Utusan Malaysia bertugas di Biro Klang, penulis secara peribadi menyaksikan badi kerusi panas MB berulang di Bukit Megawati pada zaman Mat Taib.

Pada tahun 1997, berita mengenai Mat Taib ditahan kerana tidak mengisytiharkan wang RM3.8 juta di Australia menjadikan wartawan seperti penulis menunggu kepulangannya termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Subang ketika itu.

Demi integriti atau paksaan politik, beliau akhirnya meletakkan jawatan dan momen hari terakhir menemui beliau di Bukit Megawati sukar dilupakan.

Ketika itu, Mat Taib yang dikenali mesra wartawan baru sahaja mengiringi Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad merasmikan perlumbaan motosikal di Litar Batu 3 (sekarang kawasan perumahan mewah).

Beliau enggan komen mengenai desas-desus peletakan jawatannya tetapi menjemput penulis ke kediaman MB untuk minum teh bersama beberapa rakan-rakannya.

Ketika itu, beliau secara berseloroh memberitahu, apa salah untuknya mengikut jejak pemimpin Jepun yang sanggup letak jawatan demi parti dan negara.

Beliau tidak suka isu peribadinya menjadi beban kepada parti dan apa salahnya menjadi makmum semula selepas menjadi imam.

Esoknya, Mat Taib menghantar surat peletakan jawatan kepada Mahathir.

Mat Taib kemudiannya bangkit semula dalam politik sehingga menjadi menteri, Ketua Penerangan UMNO dan kini menjadi ahli Pas sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini.

Mangsa berturut selepas itu ialah Datuk Abu Hassan Omar (kini Tan Sri) yang menjadi MB Selangor pada tahun 1997 hingga ke tahun 2000.

Oleh kerana beliau menteri Kabinet, satu pilihan raya kecil diadakan di DUN Permatang bagi menjadikan sosok digelar Mr. Clean itu diangkat menjadi MB.

Proses itu mudah kerana ketika itu BN masih kuat di Selangor. Namun harap panas sampai ke petang namun hujan di tengah hari – Abu Hassan atau lebih dikenali dalam kalangan wartawan sebagai Pak Abu tercalit dengan dakwaan isu seks oleh musuh politiknya.

Isu itu mencemar nama Pak Abu. Penulis dan sekumpulan wartawan arus perdana terpaksa bermalam di luar Bukit Megawati menyaksikan kejatuhan seorang lagi MB Selangor.

Insiden mengejar Pak Abu dalam hujan lebat dan menahannya di Kelab Shah Alam masih terbayang diingatan.

Keesokannya, Pak Abu membuat sidang akhbar dua perenggan menyatakan peletakan jawatannya.

BN dan UMNO kemudiannya memilih seorang wakil rakyat muda berkerjaya doktor gigi, Datuk Seri Mohd. Khir Toyo sebagai ganti Pak Abu.

Khir Toyo menjadi MB sejak tahun 2000 hingga tahun 2008. Sekali lagi MB Selangor terpaksa turun takhta kerana politik, bezanya akibat tsunami politik pada PRU-12 selepas pakatan pembangkang mula menawan Selangor.

Bagaimanapun, Khir Toyo masih menang sebagai wakil rakyat di kawasannya dan sempat menjadi Ketua Pembangkang di DUN Selangor.

Beliau yang pernah dilanda kontroversi kerana memberi hadiah penyapu kepada PBT tidak efisien kemudiannya dituduh bagi satu kes rasuah.

Selepas tidak terpilih menjadi calon PRU-13 dan didapati bersalah atas tuduhan kes rasuah, namanya semakin pudar dalam arena politik Selangor.

Selepas itu, Pakatan Rakyat memilih seorang tokoh korporat yang sinonim dengan Guthrie, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor.

Selepas lima tahun pada penggal pertama dan kini beberapa bulan selepas PRU-13, Abdul Khalid disebut-sebut turut dilanda badi Bukit Megawati.

Kekosongan secara tiba-tiba kerusi DUN Kajang bagi membolehkan Anwar menjadi wakil rakyat disebut-sebut menggantikannya sebagai MB Selangor.

Walaupun penyertaan bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini Ketua Umum PKR itu dilihat sebagai penenang antara krisis Abdul Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali namun masih kuat andaian jawatan MB akan bertukar lagi.

Mengulangi apa yang berlaku ketika Pak Abu mahu menjadi MB namun Anwar tidak meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Penasihat Ekonomi Selangor.

Persoalannya, badi Bukit Megawati masih bersisa dan kali ini terkena kepada Pakatan Rakyat.

Sama ada betul Anwar mahu jadi MB atau tidak, sama-sama kita lihat.

0 comments:

Post a Comment