MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan memberi komen terhadap tindakan PKR yang memaksa PRK Dun Kajang diadakan dengan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.
“No komen,” katanya ringkas ketika ditemui Sinar Harian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Pendidikan Madrasah Darul Iman di Titian Baru/Kedai Buluh di Bukit Payong dekat sini, kelmarin.
Kenyataan Abdul Hadi jelas menunjukkan beliau tidak mahu terlibat dengan masalah dalaman PKR di Selangor.
Bagaimanapun, difahamkan perkara itu akan tetap dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa politiknya, esok.
Sebelum ini, pelbagai alasan telah diberikan oleh pimpinan PKR, antaranya keputusan Anwar adalah percaturan politik parti itu bagi mengukuhkan kerajaan Selangor menghadapi BN dan sebagai gerakan taktikal dalam menuju ke Putrajaya.
Dalam kenyataan disiarkan Sinar Harian semalam, Anwar, yang merupakan Ketua Umum PKR, memaklumkan akan memberikan penjelasan kepada umum esok berhubung tindakan PKR meletakkan beliau sebagai calon di Kajang.
Bagaimanapun, isu pemilihan calon PR bakal menimbulkan konflik baharu sekiranya Pas turut meletakkan calon.
“Tak tahu lagi, saya tiada maklumat,” kata Abdul Hadi, yang merupakan Ahli Parlimen Marang, ketika ditanya adakah Pas juga akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi yang dikosongkan Lee Chin Cheh itu. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment