Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, February 2, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Minyak sawit Malaysia terus menikmati permintaan yang menggalakkan dalam pasaran tradisional, namun tahun ini pertumbuhannya dijangka perlahan, bergantung kepada kuasa beli negara-negara pengguna, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta peningkatan penduduk dan pasaran baharu.

“Permintaan mengambil kira faktor pertumbuhan penduduk, dan penggunaan berkait rapat dengan KDNK sesebuah negara.

“Jika KDNK meningkat, pertamanya mereka akan membelanjakan wang ke atas minyak dan lelemak,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia, Dr S. Kalyana Sundram.

Beliau berkata, contoh yang baik ialah India dan China, dengan penggunaan minyak diikuti pertumbuhan KDNK.

“Penggunaan per kapita akan meningkat seiring peningkatan KDNK, apabila kuasa beli bertambah baik,” katanya kepada Bernama di Cebu semasa lawatan Felda Global Ventures Holdings Bhd ke Filipina.

Majlis itu bekerjasama dengan FGV dan Intisari Mulia International Inc, sebuah syarikat Filipina, bagi mewujudkan kesedaran serta mempromosi minyak sawit Malaysia dalam kalangan penduduk Filipina.

“Pada 2014, kami menjangkakan peningkatan berperingkat-peringkat. Pembeli tradisional kami tetap sama namun terdapat permintaan yang tinggi di Filipina dan Afrika.

“Semua ini akan meningkat beransur-ansur dan pasti, dan membantu kita untuk mengekalkan kedudukan Malaysia dalam pasaran minyak makan global,” kata Sundram yang juga Pengarah Sains dan Alam Sekitar MPOC.

Beliau berkata, pemulihan ekonomi global akan memberi pengaruh positif ke atas penggunaan minyak sawit tahun ini.

Mengenai prospek untuk minyak sawit di Filipina, beliau berkata bilangan penduduk seramai 97.704 juta, menawarkan potensi perniagaan yang besar pada masa hadapan.

“Filipina ialah pengeluar utama dan pengeksport minyak kelapa dan secara tradisinya, penduduk menggunakan minyak makan ini dalam masakan.

“Bagaimanapun, bekalan yang tidak mencukupi untuk menampung permintaan penduduk, menyebabkan negara itu mengimport kuantiti besar minyak makan, termasuk minyak sawit,” katanya dan menambah Filipina mengimport lebih daripada 500,000 tan minyak sawit setiap tahun. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment