Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, November 26, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam merancang mengadakan satu perhimpunan aman di ibu negara pada 29 November ini bagi membantah tindakan kerajaan Myanmar membenarkan penyebaran kempen membenci Islam di negara itu.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, sebanyak 13 NGO yang bernaung di bawah Koaliasai Menentang Ekstrimisme Agama di Myanmar (Carem) akan terlibat dalam perhimpunan tersebut.

Beliau berkata, perhimpunan itu turut melibatkan penyerahan memorandum bantahan kepada kedutaan Myanmar di sini selepas perhimpunan aman diadakan sejurus solat Jumaat.

“Perhimpunan aman akan diadakan serentak di sebelah Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat untuk memberi peluang kepada orang ramai turut sama membantah penghinaan terhadap Islam yang dilakukan di Myanmar,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

SiakapKeli.com pada 17 November lalu melaporkan Mapim mengecam tindakan sekumpulan sami Buddha di Myanmar kerana didakwa menghina Islam dengan menyifatkan agama itu menggunakan ideologi binatang.

Sami terbabit didakwa membawa kain sepanduk yang mengandungi ayat menghina Islam itu semasa membantah lawatan Menteri-menteri luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke negara itu baru-baru ini.

Mapim turut mendakwa kebencian sami Buddha terbabit ke atas Islam sebenarnya sengaja direncanakan oleh kerajaan Myanmar.

Mohd. Azmi yang juga Koordinator Carem berkata, gabungan 13 NGO Islam tersebut akan menggerakkan bantahan ke atas kerajaan Myanmar di peringkat antarabangsa supaya dunia melakukan tindakan untuk menghentikan penindasan kerajaan Myanmar terhadap umat Islam.

Katanya, Carem turut menuntut Dalai Lama sebagai ketua kerohanian penganut Buddha seluruh dunia supaya mendesak kerajaan Myanmar dan penganut Buddha di Myanmar menghentikan kempen kebencian agama dan menindas penganut agama lain di negara itu.

Tambahnya, negara ASEAN diminta membuat bantahan keras terhadap Myanmar dan mempertimbangkan semula kedudukan negara itu yang bakal menjadi Pengerusi Asean pada tahun 2014 jika Myanmar terus membiarkan ekstremis agama berlanjutan di negara berkenaan.

“Kami meminta kerajaan Malaysia menghantar nota bantahan kepada kedutaan Myanmar bagi mengingatkan bahawa Malaysia  mempunyai penduduk berbilang agama tetapi dapat mewujudkan keamanan dan harus diteladani oleh Myanmar,” katanya.

Beliau dalam pada itu menggesa semua negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyuarakan bantahan terhadap kebiadaban penunjuk perasaaan di Myanmar yang menyasakan Islam sebagai musuh mereka.

“Perhubungan diplomatik dengan Myanmar perlu dinilai semula jika kempen membenci Islam tidak dihentikan,” katanya lagi.

Carem dianggotai Mapim, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Persatuan Ulama Malaysia, Teras Pengupayaan Melayu, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, Ikram Malaysia, Haluan Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia, Persatuan Ulama Kedah, Jama’Iy Perak, Union of World Rohingya Organizations, Citizens International Malaysia dan Regional Initiatives for Justice and Peace.

0 comments:

Post a Comment