Penyerang PDRM, Bobby Gonzales (dua kanan) mungkin diturunkan pada pusingan kedua Piala FA menentang PBAPP, Selasa ini. |
KETIADAAN jurulatih, Dollah Salleh yang terpaksa berehat dua atau tiga minggu selepas pembedahan jantung Selasa lalu tidak akan menjejaskan moral mahupun semangat pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pertemuan kedua Piala FA menentang pasukan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Selasa ini.
Itu tegas kapten PDRM, Muslim Ahmad yang percaya rakan sepasukannya tetap bersemangat untuk memburu kemenangan bagi membolehkan mereka terus bersaing dalam Piala FA musim ini.
"Alhamdulillah, jurulatih (Dollah) telah keluar dari hospital dan kini berehat di rumahnya. Sama ada dia akan berehat panjang atau turun padang untuk melatih kami, itu saya belum pasti.
"Mungkin kita akan lihat terlebih dahulu bagaimana keadaannya selepas menjalani pembedahan. Tapi saya yakin tumpuan kami tidak akan terjejas kerana sebagai pemain kita harus sentiasa fokus walaupun berdepan apa jua masalah.
"Jadi saya harap, pertemuan menentang PBAPP nanti, kita mampu melakukan sebaik mungkin dan membawa pulang kemenangan," katanya,
Sebelum ini, Dollah menjalani pembedahan jantung di Pusat Perubatan Ara Damansara pada Selasa selepas mengalami sakit di bahagian dada.
Mengulas mengenai tahap kecederaan yang dialaminya, Muslim bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau belum pasti sama ada dapat diturunkan atau tidak dalam pertemuan itu nanti.
"Buat masa sekarang saya sudah melakukan latihan bersama rakan sepasukan, cuma dapat beraksi atau tidak untuk pertemuan itu belum pasti.
“Semuanya hanya bergantung kepada keputusan ujian imbasan yang akan dilakukan pagi esok (hari ini) dan saya sangat berharap kecederaan itu tidak serius," katanya.
0 comments:
Post a Comment