Kain rentang dan sepanduk yang dipasang di kawasan berhampiran tapak pembinaan Empangan Baram sebagai tanda tidak setuju daripada penduduk. Gambar fail. |
Ironinya, walau 100 hari sekalipun Orang Asli mengadakan demonstrasi anti empangan di pedalaman Baram, Sarawak dalam usaha mereka menghalang pembinaan empangan hidroelektrik yang bernilai RM4 bilion tersebut, cara hidup berkurun lamanya yang ingin mereka kekalkan sudah mula dirobohkan.
Terdapat tanda empangan yang dicadangkan tersebut - walaupun masih dalam peringkat kajian kesesuaian, perlahan-lahan memusnahkan fabrik sosial komuniti yang tinggal di kawasan tapak empangan tersebut, termasuk penduduk yang tidak begitu terjejas dengan projek yang ingin menjana kuasa dari Sungai Baram bagi rancangan perindustrian.
Kini ia mula dirasai oleh pemimpin masyarakat yang dilantik kerajaan untuk memenangi sokongan 'anak biak' (warga rumah panjang) bagi membina empangan tersebut.
"Dahulu tidak pernah begini, pantang untuk melawan orang tua kami. Sekarang sudah ada tanda pemberontak terhadap ketua yang selama ini mereka hormati," kata seorang wakil rumah panjang apabila bercerita tentang mesyuarat baru-baru ini di Miri dengan wakil kampung yang bakal ditenggelami oleh empangan ini untuk berbincang mengenai pampasan yang mereka akan pohon kepada kerajaan jika empangan tersebut dibina.
Mesyuarat tersebut dilaporkan menjadi sesi tuduh menuduh antara mereka yang sangsi dan syak atas manfaat empangan tersebut dengan jawatankuasa dilantik kerajaan yang mempengerusikan mesyuarat itu.
Jawatankuasa itu terdiri daripada Temenggong Pahang Ding, ketua paling utama Orang Ulu, Pemanca Elizabeth Ding dan penasihatnya, bekas pegawai daerah Baram, Richard Pahang Lah.
Wakil yang paling lantang dalam mesyuarat itu iaitu Ketua Kampung Uma Bawang, Pius Lihan Ding yang dilaporkan mempersoalkan peranan mereka dalam mesyuarat yang beliau anggap "seolah-olah menjadi jurucakap kerajaan apabila berbincang tentang empangan itu".
Beliau berkata:"Kami sanjung kalian sebagai pemimpin kami, tetapi kalian tidak membimbing kami dan menjaga kepentingan kami."
Peter Kallang, aktivis anti empangan yang hadir tanpa jemputan di mesyuarat tersebut berkata, wakil kampung yang terlibat iaitu Long Kesseh, Long Pilah, Long Miri, Uma Bawang, Sungai Dua dan Long Laput juga meragui kesaksamaan ahli jawatankuasa atas kepentingan mereka.
Kallang yang juga Presiden NGO Save Rivers Network Sarawak, berkata satu insiden yang masih tidak dapat diterima adalah apabila Temenggong enggan menyerahkan tandatangan 7,000 warga menentang empangan itu yang dikumpul tahun lalu, kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Empangan yang direka untuk menjana 1,200Mw elektrik itu, apabila dibina boleh menenggelamkan 400 km persegi tanah dan mengalihkan 20,000 Orang Asli daripada keturunan Kayan, Kenyah, Kelabit, Penan dan kaum Iban.
Mesyuarat yang diadakan di pusat belia Brighton Miri itu hanya dihadiri wakil enam kampung, daripada kira-kira 13 yang bertaburan di hilir empangan dan secara tidak langsung terjejas dengan pembinaan empangan itu.
Kampung ini tidak perlu dipindahkan seperti mereka yang tinggal di hulu empangan, tetapi arus sungai di kawasan Baram akan terjejas kerana paras air berkemungkinan turun mendadak ketika penakungan yang dijangka mengambil tempoh setahun itu.
Kallang berkata, beberapa ketua kampung yang hadir menolak kenyataan bahawa mereka akan mendapat manfaat daripada jalan masuk 60 km yang dirancang dari Long Lama ke tapak empangan.
"Mereka ragu-ragu kerana jalan raya ini tidak tembus ke tanah mereka. Ia hanya dibentangkan melalui tanah di kawasan hulu empangan," kata Kallang.
"Empangan ini memecah-belahkan orang ramai. Sementara pemimpin komuniti meyakinkan orang ramai untuk menyokongnya, ramai yang mempersoalkan keperluannya,” katanya.
Penentang empangan yang lebih radikal pula menaikkan tiga benteng untuk menghalang pekerja atau kontraktor Sarawak Energy Sdn Bhd (SEB) memasuki tapak empangan tersebut.
Mereka memasang satu benteng untuk menghalang pembinaan jalan masuk berdekatan Long Lama, satu untuk menghentikan kajian di tapak potensi kuari dan satu untuk menghalang pengkaji geologi daripada mengumpul sampel teras di tapak empangan.
Empangan hidroelektrik Baram terletak di antara Long Naah dan Long Kesseh, kira-kira 200 km dari Miri, dan akan memindahkan penduduk daripada 26 kampung. – 2 Februari, 2014.
0 comments:
Post a Comment