PADANG BESAR – Menteri Besar Perlis, Azlan Man memberi jaminan semua gelanggang pertandingan bagi penganjuran Sukan Malaysia ke-17 (SUKMA) siap mengikut jadual menjelang kejohanan itu yang akan bermula 24 Mei.
Menurutnya pembinaan kolam renang untuk acara akuatik dan stadium utama untuk majlis perasmian terlewat daripada jadual dijangka siap sepenuh pada akhir Mac ini.
“Persiapan venue-venue lain berjalan lancar mengikut jadual. Tempat-tempat penginapan atlet dan pegawai yang hampir 10,000 orang juga tersedia dan saya beri jaminan gelanggang ini dapat digunakan sepenuhnya.
“Ujian juga akan dijalankan terlebih dulu bagi menentukan ia disiapkan mengikut spesifikasi dan piawaian ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Larian Baton SUKMA ke-17 di tapak niaga Arked MARA di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang meninjau gelanggang pertandingan di sini bulan lalu melahirkan kebimbangan kerana pembinaan kolam renang dan stadium terlewat daripada jadual.
Azlan berkata, kerajaan negeri serta agensinya sedang mengambil langkah perlu untuk menampung dan memenuhi keperluan para atlet serta pegawai di samping pelancong yang datang ke Kangar untuk menyaksikan SUKMA.
“Saya dimaklumkan semua tempat penginapan seperti hotel, inap desa dan chalet habis ditempah. Ini adalah petanda baik kepada Perlis yang pertama kali menjadi tuan rumah sukan dwi-tahunan ini yang berakhir pada 4 Jun,” katanya.
Beliau berkata pengunjung juga berpeluang menikmati mempelam Harum Manis, produk terkenal di negeri ini, yang banyak mengeluarkan hasil antara Mei hingga Jun.
Mengenai Larian Baton, Azlan berkata, acara itu menjadi agenda penting untuk menyemarakkan semangat atlet, pegawai dan rakyat Perlis supaya dapat memainkan peranan menjadikan SUKMA kali ini antara yang terbaik.
Katanya, Larian Baton yang menggantikan Larian Obor SUKMA akan dibuat di semua 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga 20 Mei bermula dengan DUN Titi Tinggi dalam Parlimen Padang Besar, hari ini.
Larian berkenaan disertai kira-kira 200 pelari termasuk peserta yang mewakili badan sukarela sejauh 15 kilometer hingga 25 kilometer. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment