KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) meminta kerajaan mengkaji semula undang-undang mengenai arak di negara ini kerana disifatkan terlalu longgar.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun peruncit memerlukan lesen untuk menjual minuman keras, namun lesen tidak diperlukan untuk menjual bir di dalam botol atau di dalam tin.
“Seksyen 32(1) yang mensyaratkan penjualan liquor yang memabukkan memerlukan lesen. Namun Seksyen 32(1)(a) dan (b) pula mengecualikan jualan runcit bir atau todi dalam botol atau dalam tin dan ini tidak memerlukan lesen.
“Ha ini menyebabkan bir boleh dijual di 7 Eleven yang mana pekerjanya adalah juga di kalangan anak Melayu sendiri. Seksyen 32(1) (c) pula membenarkan jualan runcit liquor yang memabukkan di kedai-kedai bebas duti yang dilesenkan di bawah Seksyen 65 (d) Akta Kastam 1967. Jadi ini menunjukkan bahawa penjualan arak ini boleh dijual di mana-mana sahaja,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Azmi berkata, terdapat beberapa faktor yang mewajarkan undang-undang mengenai arak dikaji semula kerana terdapat laporan mendedahkan bahawa Malaysia pengguna arak ke 10 tertinggi di dunia dan 45 peratus remaja berusia bawah 18 tahun mengambil arak.
Menurutnya, ada juga laporan menyebut retiap tahun rakyat Malaysia belanja RM1.9 bilion untuk arak dan 200 000 mereka dikategorikan sebagai penagih arak.
Permintaan serupa pernah disuarakan Majlis Pemulihan, Kawalan dan Pencegahan Alkohol (Asapcom) awal bulan ni yang turut meminta kerajaan memperketatkan undang-undang berkaitan penjualan arak kerana bimbang dengan masalah ketagihan arak di negara ini.
Antara cadangan Asapcom seperti yang disiarkan oleh media supaya kerajaan melarang penjualan di tempat terbuka dan dan had umur individu dinaikkan daripada 18 hingga 21 tahun.
Pengerusi Asapcom, Dr. M.Bala Tharmalingam turut menggesa agar kerajaan melarang pengambilan arak di tempat awam, menaikkan harga arak dan mewujudkan pusat pemulihan ketagihan arak.
0 comments:
Post a Comment