KUCHING – Masih banyak tidak mengetahui kerajaan menyediakan bantuan kewangan untuk subsidi yuran murid prasekolah swasta yang pendapatan ibu bapa mereka tidak melebihi RM500 sebulan, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Negeri Datuk Fatimah Abdullah.
Beliau berkata bantuan yuran prasekolah itu dilaksanakan sejak 2010.
Katanya murid yang layak menerima bantuan berkenaan mesti berumur empat hingga lima tahun dan belajar di prasekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Beliau berkata nilai maksimum bantuan adalah berdasarkan pendapatan isi rumah iaitu RM150 bagi pendapatan yang tidak melebihi RM300 sebulan, RM112.50 (RM400) dan RM75 (RM500) sebulan.
Sementara bantuan bagi murid berkeperluan khas (OKU) adalah RM500 bagi pendapatan isi rumah tidak melebihi RM300 sebulan, RM400 (RM400) dan RM300 (RM500), katanya.
“Tiada bantuan diberi kepada murid yang pendapatan isi rumah lebih RM500 dan bantuan yuran yang diberikan adalah berdasarkan kepada yuran sebenar tetapi tidak melebihi nilai maksimum yang ditetapkan,” kata Fatimah pada sidang media di sini hari ini.
Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang belajar di prasekolah swasta dan memiliki kad OKU atau surat perakuan pegawai perubatan, layak menerima kadar murid OKU tanpa mengira kategori atau tahap kelainan upaya (kecacatan).
Beliau berkata jika bantuan yuran yang layak adalah di bawah kadar yuran sebenar, maka perbezaan yuran adalah di bawah tanggungan ibu bapa atau penjaga.
Ibu bapa perlu memohon bantuan berkenaan melalui sekolah dan pembayaran subsidi berkenaan akan dibayar terus kepada pihak sekolah terbabit, jelas beliau. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment