Saintis sedang berusaha untuk mengklasifikasikan spesies obor-obor gergasi baharu, yang dijumpai terdampar di pantai Hobart, dekat Tasmania, Australia.
Obor-obor berukuran 1.5 meter itu, ditemukan oleh sebuah keluarga di selatan Tasmania, sebelum mereka bertindak menghubungi ahli biologi marin tempatan.
Seorang daripada ahli keluarga berkenaan yang dikenali sebagai Josie Lim berkata, keluarganya menemukan obor-obor berkenaan di ibu negeri Hobart dan penemuan itu begitu mengejutkan mereka.
“Lokasi ini bukanlah kawasan habitat utama obor-obor dan apabila menjumpainya kami berasa begitu teruja,’’ kata Lim.
Menurut saintis daripada Organisasi Saintifik dan Penyelidikan Komanwel (CSIRO), Lisa Gershwin, pihaknya sebelum ini sudah menemui pelbagai jenis obor-obor, namun satu pun tidak pernah terdampar di pantai dan mempunyai saiz sebesar itu.
“Kami mengetahui spesimen ini, tapi masih lagi belum diklasifikasikan dan diberikan nama,’’ jelas Gershwin, sambil menambah, sejak beberapa bulan kebelakangan ini banyak obor-obor membiak di Tasmania.
Ujarnya, spesies baharu itu mempunyai kaitan dengan obor-obor singa iaitu obor-obor terbesar di dunia.
“Saiz obor-obor berkenaan begitu besar dan mengejutkan, namun haiwan ini tidak mengancam keselamatan manusia, walaupun mempunyai sengat,’’ kata Gershwin.
Ketika ini, saintis di CSIRO sudah mempunyai gambar dan sampel yang mencukupi untuk menjalankan analisis lengkap bagi mengklasifikasikan dan memberi nama obor-obor berkenaan, termasuk mengetahui bagaimana cara pemakanan, habitat dan bakanya. – AFP
0 comments:
Post a Comment