MALAM ini, peminat bola sepak bakal menyaksikan satu lagi pertembungan ‘panas’ antara pasukan Pahang menentang Johor Darul Takzim (JDT) menerusi Liga Super 2014.
Bayangkan, seramai 784 anggota keselamatan akan ditempatkan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada perlawanan yang akan berlangsung jam 8.45 malam itu, memetik Berita Harian.
Rasanya, ramai yang sedia maklum faktor yang menyebabkan begitu ramai anggota keselamatan ditugaskan untuk perlawanan kali ini.
Semuanya gara-gara tidak mahu peristiwa kekecohan pada aksi separuh akhir kedua Piala FA musim lalu di stadium yang sama berulang kembali.
Mengimbas peristiwa ‘hitam’ pada 28 Mei 2013 itu, perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada jam 8.45 malam terpaksa ditangguhkan lebih sejam apabila ada penyokong yang menceroboh masuk ke kawasan perlawanan yang terletak beberapa meter dari padang.
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang turut menyaksikan perlawanan tersebut kemudiannya mencemar duli selama 10 minit turun ke trek olahraga bagi meminta kerjasama daripada para penyokong supaya menjaga disiplin mereka.
Selepas keadaan sedikit terkawal, pihak polis membuat pengumuman bahawa perlawanan selamat untuk diteruskan walaupun ramai penyokong duduk di trek.
Bagaimanapun, kekecohan kembali tercetus apabila ada penyokong di luar stadium yang bertindak membaling objek termasuklah botol dan mercun ke arah penyokong JDT sehingga mengakibatkan kecederaan.
Akibatnya, pihak pengurusan terpaksa menunda perlawanan tersebut ke tarikh lain.
Apa yang ‘unik’nya malam ini, kehadiran para pemain dan penyokong Johor ke Kuantan malam ini masih dibayangi dengan satu lagi peristiwa ‘panas’ yang baru sahaja berlaku beberapa hari lalu.
Insiden pertelingkahan yang melibatkan jurulatih JDT, Cesar Fernando Jiminez dan jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pasti menjadi ‘point’ nakal oleh sesetengah pihak untuk menghangatkan suasana.
Peristiwa dalam terowong itu juga telah menyebabkan pasukan T-Team enggan meneruskan perlawanan pada malam tersebut.
Secara tidak langsung, peristiwa demi peristiwa itu menyebabkan setiap perlawanan yang melibatkan JDT menjadi perhatian.
Apa pun, diharapkan perlawanan malam ini berlangsung dengan lancar tanpa sebarang percubaan provokasi dan kekecohan seperti sebelum ini.
Lagi pun, kalau difikirkan, ini cuma perlawanan bola sepak, bukannya perang antara penyokong negeri.
Tak perlulah bawa emosi melampau dan fanatik yang tak bertempat ke dalam stadium sehingga menyusahkan orang lain.
0 comments:
Post a Comment