PETALING JAYA – Pelajar Malaysia, Ahmad Izat Ahmad Mazni yang terselamat dalam serangan ganas di Nottingham, England, masih berada dalam keadaan trauma.
Menurutnya yang berusia 23 tahun, walaupun ditikam sebanyak 14 kali dalam serangan itu namun dia tetap mengejar perompak berkenaan untuk mendapatkan kembali telefon bimbitnya.
Ketika kejadian pada pukul 6.50 petang Ahad, Ahmad Izat sedang berjalan kaki untuk ke rumah kawannya di Dunkirk sebelum dihampiri seorang lelaki yang bertanyakan masa ketika itu kerana tidak mempunyai jam.
“Kejadian itu berlaku begitu cepat. Semasa saya mencari jam, datang dua lelaki yang bersejatakan pisau.
“Mereka meminta barang-barang saya, mereka kelihatan seperti remaja berusia 14 hingga 15 tahun,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Jelasnya, perompak itu melarikan diri selepas mengambil dompet dan telefon bimbitnya.
“Saya menjerit sambil berlari dengan meminta mereka memulangkan semula dokumen penting lain dan mengambil wang berkenaan,” ujarnya.
Ahmad Izat memberitahu, apabila mereka menoleh ke arahnya, dia ditikam dan dibelasah oleh suspek.
“Akibat begitu marah, saya tidak berasa sakit dan terus mengejar mereka. Seorang daripada mereka menyerah semula telefon bimbit itu sebelum menghilangkan diri selepas memanjat pagar sebuah kawasan perumahan,” jelasnya.
Ahmad Izat terpaksa berjalan sejauh 2 kilometer sebelum ditemui polis yang membawanya mendapatkan perubatan. – mStar Online
0 comments:
Post a Comment