BAU – Penduduk daerah ini mengadu terpaksa menghidu bau busuk ekoran masalah sampah-sarap tidak dikutip pihak berwajib yang adakalanya selama dua minggu.
Tinjauan Bernama pada Khamis lalu mendapati sampah-sarap bertaburan di atas jalan dan tanah kerana melimpah keluar dari tong sampah yang penuh dan masalah itu turut berlaku di tempat pelancongan Gua Fairy dan Gua Angin.
Di Gua Fairy yang menjadi tumpuan pengunjung setiap hujung minggu termasuk pelancong asing didapati tidak disediakan dengan tong sampah.
Tong-tong sampah yang disediakan di simpang kampung-kampung didapati dipenuhi sampah yang melimpah keluar ke atas jalan raya.
Daerah Bau mempunyai keluasan 884.40 kilomter persegi dengan penduduk berjumlah 54,246 orang (mengikut banci penduduk 2010).
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Batu Sepit, Krokong, Joryim Ngayop mendakwa sampah-sarap di setiap kampung terbiar untuk tempoh sehingga dua minggu tanpa dikutip oleh kontraktor pengutip sampah yang dilantik Majlis Daerah Bau (MDB).
“Sepatutnya MDB memastikan kontraktor yang dilantik memunggut sampah-sarap di sekitar daerah ini dua kali seminggu bukannya dipunggut sekali dalam tempoh dua minggu seperti sekarang,” kata Joryim ketika ditemui Bernama Khamis lalu.
Joryim turut mengadu bilangan tong sampah yang dibekalkan MDB di setiap kampung tidak mencukupi bagi menampung kuantiti sampah yang semakin bertambah berikutan pertambahan penduduk.
“Selain tidak mencukupi, banyak juga tong sampah yang sedia ada sudah rosak,” katanya dan berharap MDB segera mengatasinya.
Sementara itu, Penghulu Dihoi Nyawen berkata terdapat 56 kampung kaum Bidayuh di daerah ini, tidak termasuk kawasan bandar Bau dan beberapa buah kampung Melayu dan penempatan kaum Cina.
Setiausaha MDB Jitien Ritop ketika dihubungi mengaku memang berlaku kelewatan pengutipan sampah di semua kawasan dalam bidang kuasa majlis itu.
Beliau berkata MDB menyedari masalah tersebut dan sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kami menjangka dapat menyelesaikan masalah ini menjelang pertengahan Februari,” katanya sambil meminta supaya penduduk terjejas bersabar.
Menurut Jitien, masalah itu timbul berikutan kerosakan dialami sebuah trak milik sebuah kontraktor yang dilantik MDS menyebabkan hanya dua trak beroperasi ketika ini.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan turut membeli tong sampah tambahan tetapi masih menunggu kelulusan daripada mesyuarat ahli-ahli majlis yang dijangka diadakan awal Februari ini. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment