KUALA LUMPUR – Polis amat menggalakkan anggotanya menggamalkan aktiviti kecergasan selaras dengan kempen menjadikan Ahad minggu pertama setiap bulan sebagai hari berbasikal di ibu negara.
Ketua Polis Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata di peringkat polis, pelbagai program kecergasan sama ada di peringkat balai atau Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sudah dilaksanakan bertujuan mendedahkan anggotanya dengan aktiviti itu.
“Biasanya aktiviti kecergasan ini diselitkan ketika kempen pencegahan jenayah dan senaman Hari Polis ,” katanya semasa dihubungi Bernama ketika berlangsungnya kempen “Pagi Bebas Kenderaan” siri kedua anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.
Menurutnya sempena kempen itu, 100 anggota polis ditempatkan untuk mengawasi keadaan di jalan yang ditutup bagi acara itu meliputi Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan P.Ramlee dan Jalan Tun Perak sejauh 7 kilometer.
“Tiada kemalangan dilaporkan sepanjang program ini berlangsung selama dua jam bermula jam 7.30 pagi ini,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program itu Datuk Naim Mohamad berkata DBKL mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Pagi Bebas Kenderaan’ bertujuan mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida di dalam bandar selain menjadikan ibu kota sebagai kota yang mementingkan alam sekitar.
“DBKL telah mengadakan program ini buat kali pertama pada 5 Januari lalu diikuti pada hari ini bagi siri kedua tahun ini, bilangan yang menyertainya hanya 2,500 orang memandangkan ramai warga KL yang masih bercuti pada musim perayaan,” katanya.
Menurutnya pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti berbasikal sejauh 7 kilometer ‘Clown Bicycle’, pertandingan Roller Blade, pertandingan berbasikal secara perlahan dan futsal terbuka.
Apa yang menarik ramai juga peserta yang tidak hanya berbasikal malah berjalan kaki dengan kelajuan maksimum di sepanjang trek disediakan. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment