Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, February 1, 2014

No Comment

KUCHING – Mayat seorang daripada dua pemuda yang hilang dalam tragedi bot karam di Sungai Rajang di Sarikei pada Khamis lepas, dilaporkan dijumpai hari ini.

Penemuan mayat itu disahkan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Muhammad Sabtu Osman, bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti mayat itu kerana pihak polis mahu memaklumkan terlebih dahulu kepada keluarga mangsa.

Muhammad Sabtu ditemui pemberita di rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Balai Polis Tabuan Jaya di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam kejadian 2.15 petang itu, bot yang dinaiki empat pelajar termasuk dua beradik yang dalam perjalanan pulang selepas memancing, terbalik dan karam selepas dipukul ombak di Sungai Rajang berhampiran Tanah Putih, Rumah Buda di Sarikei.

Dua mangsa yang hilang ialah Sreedy Samuel Ali, 13, dan Anthony Abell Jimmy, 18, manakala dua lagi iaitu Edison Ali, 15, dan Leonado David, 14, berjaya berenang menyelamatkan diri.

Sementara itu, Muhammad berkata beliau telah mengeluarkan arahan kepada semua ketua polis daerah untuk mengeluarkan risalah menasihatkan orang ramai yang menggunakan pengangkutan sungai agar berhati-hati dan membuat persiapan secukupnya termasuk menggunakan jaket keselamatan.

“Kita mengenal pasti beberapa jeti untuk pemasangan papan tanda amaran bagi mengingatkan orang ramai tentang bahaya sungai serta langkah keselamatan yang perlu mereka ambil,” katanya.

Menurut Muhammad, pada minggu lepas polis daerah Kuching mengadakan kempen penggunaan jaket keselamatan semasa hendak menyeberangi Sungai Sarawak menggunakan perahu tambang di Tebingan Kuching.

Tragedi bot karam di Sarawak seakan tiada kesudahan dengan kes terbaru dilaporkan semalam di muara Sungai Seblak, Kabong, Saratok, dengan seorang pemancing dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaiki bersama enam lagi rakannya karam dipukul ombak.

Dalam kejadian 4 petang itu Nurul Aizan Daraman, 24, dilaporkan hilang, manakala enam lagi rakannya dapat menyelamatkan diri.

Operasi mencari dan menyelamat disambung hari ini setelah terpaksa dihentikan akibat hari gelap semalam.

Pada 25 Jan lepas, sebuah bot 1Azam dalam perjalanan dari Sungai Sian ke Bintangor karam menyebabkan seorang mati lemas iaitu Kenny Bisa, 28, manakala 15 orang terselamat.

Kes pertama tahun ini berlaku pada 18 Jan lepas di Batang Lassa, Daro, meragut 11 nyawa manakala 16 orang lagi terselamat. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment