KUALA LUMPUR – Scomi Energy Services Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Scomi Marine Bhd) (SESB), memperoleh kontrak bernilai RM195 juta daripada PTTEP Siam Limited (PTTEPS) dan PTTEP International Limited (PTTEPI).
Kontrak tiga tahun ini membabitkan bekalan bendalir penggerudian untuk aktiviti penggerudian darat di Thailand.
“Kemajuan pertumbuhan SESB berada pada kedudukan yang baik dan kami mengukuhkan kehadiran dalam sektor minyak dan gas Asia. Kami gembira mendapat kepercayaan PTTEP terhadap produk dan perkhidmatan kami, terutama untuk pasaran Thailand,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SESB Shah Hakim Zain dalam satu kenyataan.
Selain Thailand, SESB juga menyediakan perkhidmatan yang sama kepada kumpulan syarikat PTTEP Group di Australia dan Myanmar.
Kontrak ini merupakan kontrak perkhidmatan medan minyak terbesar SESB di Thailand.
Menerusi pemerolehan ini, projek dalam tangan semasa SESB kini bernilai RM260 juta dan berdasarkan jumlah tender yang disertai, prospek pertumbuhan SESB kekal cerah, kata Shah Hakim.
SESB baru-baru ini mengumumkan kejayaan kontrak di Myanmar untuk Petronas dan di Indonesia untuk Virginia Indonesia Company, dengan gabungan kontrak bernilai RM165 juta.
Oleh itu, jumlah nilai kontrak yang diperoleh SESB yang diumumkan pada 2014 melepasi paras RM360 juta.- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment