Dua jaringan Charlie Adam memastikan Stoke meraih kemenangan pertama mereka di laman sendiri ke atas Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila menang 2-1 di Stadium Britannia, malam tadi.
Adam membuka tirai jaringan Stoke pada minit ke-38 menerusi sepakan percuma yang terbias kaki pemain United, Michael Carrick, sekali gus mengelirukan penjaga golnya, David de Gea.
Biarpun Robin van Persie berjaya menjaringkan gol penyamaan United pada minit ke-47, Adam sekali lagi menjadi pemusnah apabila menjaringkan gol kemenangan Stoke, lima minit berselang.
Ia memberikan kekalahan kelapan skuad kendalian David Moyes itu selepas 24 perlawanan musim ini untuk kekal terperosok di tangga ketujuh liga dengan 40 mata, jauh ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Manchester City yang hanya akan turun beraksi bertemu Chelsea, awal pagi Selasa ini.
United bagaimanapun masih tiga mata mengatasi pasukan tangga kelapan, Newcastle yang tewas 3-0 kepada Sunderland di laman sendiri, malam tadi.
Tottenham pula yang dibelasah 5-1 oleh City pertengahan minggu lalu turun ke tangga keenam, dipintas Everton apabila sekadar meraih satu mata ketika seri 1-1 dengan Hull di gelanggang lawan.
Hull mendahului menerusi jaringan Shane Long minit ke-12 sebelum Paulinho menyamakan kedudukan pada minit ke-61 untuk memberikan mata ke-44 buat Tottenham, satu mata di belakang Everton yang menewaskan Aston Villa 2-1.
Kedudukan empat tangga teratas yang kesemuanya baru beraksi 23 perlawanan kekal menyaksikan City dengan 53 mata diikuti Arsenal 52 mata, Chelsea 50 mata dan Liverpool 46 mata.
Berikut keputusan tujuh perlawanan malam tadi:
Newcastle 0 – 3 Sunderland
West Ham 2 – 0 Swansea
Cardiff 2 – 1 Norwich
Everton 2 – 1 Aston Villa
Fulham 0 – 3 Southampton
Hull 1 – 1 Tottenham
Stoke 2 – 1 Man United
0 comments:
Post a Comment