KUCHING – Ujian kesihatan mental kepada pasangan yang bakal berkahwin dilihat kaedah terbaik mengurangkan kes keganasan rumah tangga, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata oleh itu, pihaknya tidak menolak perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menentukan kaedah terbaik pelaksanaan cadangan berkenaan, jika dirasakan sesuai dilaksanakan.
“Ini satu cadangan yang baik memandangkan memang ada pasangan yang mempunyai sejarah sakit mental namun akibat rasa cinta, perkara itu tidak diberi perhatian.
“Jika bersesuaian, ujian kesihatan mental ini boleh dilaksana seperti mana ujian saringan HIV kepada pasangan yang akan berkahwin, ini bererti, jika pasangan ingin berkahwin, semua aspek perlu diperiksa secara terperinci” katanya kepada pemberita selepas melawat pesakit di Wad Hematologi Hospital Umum Sarawak hari ini.
Ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini berhubung trend jenayah pembunuhan kanak-kanak bawah umur 12 tahun, Rohani tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku akibat masalah mental yang dihadapi anggota keluarga.
“Berdasarkan laporan akhbar, ada kes dilakukan anggota keluarga terdekat seperti ibu bapa serta sanak saudara.
“Fokus kementerian menerusi agensi pelaksana seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) adalah mengadakan lebih banyak program seperti kaunseling, kursus dan forum berkaitan hal kekeluargaan untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan yang dilihat semakin rapuh ketika ini,” katanya.
Beliau juga berkata mereka yang berminat menyertai program anjuran LPPKN boleh merujuk pejabat terdekat, melayari laman sesawang http://www.lppkn.gov.my atau menghubungi Talian Nur 15999 untuk sebarang pertanyaan.- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment