Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, May 5, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR -  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengemukakan sebanyak 278 nama pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen sehingga Mac lalu bagi menghalang mereka daripada meninggalkan Malaysia.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, majikan terbabit tidak dibenar meninggalkan negara ini sebelum menyelesaikan tunggakan caruman KWSP pekerja mereka seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.

“KWSP mengingatkan semua majikan supaya melaksanakan tanggungjawab membayar caruman bulanan KWSP pekerja dengan teratur kerana caruman ini untuk persaraan mereka.

“Majikan perlu sedar bahawa kegagalan menjelaskan caruman bulanan pekerja merupakan kesalahan serius. KWSP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap majikan terbabit termasuk menyita harta alih mereka atau memfailkan saman sivil,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Di bawah Akta KWSP 1991, semua majikan diwajibkan membayar caruman bulanan untuk pekerja mereka sebelum atau pada 15 haribulan pada setiap bulan.

Nik Affendi seterusnya memaklumkan, seramai 157 majikan tidak mencarum didenda RM218,650 oleh mahkamah di bawah Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991 sehingga Mac lalu.

Tambahnya, sebanyak 251 saman sivil dan 775 kes jenayah turut  difailkan di mahkamah terhadap pengarah syarikat dan majikan yang tidak membayar caruman bulanan KWSP pekerja mereka.

“Antara majikan yang telah didenda oleh mahkamah ialah Kimpack Plastic Industries dari Perak sebanyak RM5,000, Syac Enterprise dari Wilayah Persekutuan RM4,000. Empat syarikat dari Selangor – Jurukur Putra dan Grand March masing-masing didenda RM3,800, manakala Intergate Digital Solutions dan Caidmark masing-masing didenda RM3,500 dan RM2,500,” katanya.

Menurutnya, mahkamah kebiasaannya membenarkan majikan yang didenda menjelaskan tunggakan caruman secara  ansuran sehingga enam bulan dan KWSP akan mengkreditkan semua tunggakan caruman ke dalam akaun ahli terbabit setelah setelah semua tunggakan itu dibayar sepenuhnya.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli KWSP yang ada sebarang keraguan dalam akaun KWSP mereka mendapatkan penjelasan daripada majikan atau membuat laporan kepada KWSP.

“Laporan terhadap majikan tidak mencarum boleh dibuat di cawangan KWSP berdekatan atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03–8922 6000 dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat.

“Ahli juga boleh membuat laporan secara online melalui laman web myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my,” katanya.

0 comments:

Post a Comment