KUALA LUMPUR – : Dihayun dengan ekzos motosikal, badan dibaling periuk selain dikejar dengan pisau pemotong daging.
Itu detik cemas dialami seorang suri rumah selepas diserang suaminya yang mengamuk hanya kerana menuduh mangsa mencuri wangnya di kondominium didiami di Setapak, Ahad lalu.
Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, suspek berusia 30-an berang terhadap isterinya yang berusia 20-an sebaik mendapati sarapan tidak disediakan.
Menurutnya, suspek kemudian keluar dari rumahnya itu sebelum pulang dengan membawa nasi bungkus hanya untuk dirinya saja.
“Seorang daripada tiga anak pasangan itu mengadu kepada mangsa bahawa ayah mereka (suspek) makan bersendirian.
“Mangsa yang geram dengan tindakan suaminya makan bersendirian tanpa mempedulikan dia dan tiga anak kemudian keluar rumah membeli ikan.
“Mangsa pulang ke rumah dan menyediakan masakan untuk makan tengah hari.
Mangsa bagaimanapun terkejut apabila suaminya tiba-tiba ‘naik angin’ dan menuduhnya mencuri duit miliknya,” katanya.
Menurut sumber, suspek kemudian bertindak melampau apabila membaling periuk sehingga terkena badan mangsa, selain memecahkan pasu bunga.
Tidak cukup dengan itu, suspek yang masih belum berpuas hati kemudian mengambil ekzos motosikal sebelum menghayunkannya ke arah kaki kanan mangsa.
“Ketika cuba mengelak ekzos itu, mangsa secara tidak sengaja mencederakan tangan kanan suspek dengan menggunakan pisau yang digunakan untuk memasak di dapur.
“Akibatnya suspek bertambah berang lalu bertindak merampas pisau pemotong daging untuk menyerang mangsa.
Suspek cuba menetak mangsa, namun dapat dielak.
“Suspek kemudian memukul kepala dan perut mangsa menggunakan hulu pisau pemotong daging itu selain turut menendang perut mangsa.
“Mangsa yang ketakutan melarikan diri sebelum mengunci dirinya di dalam bilik di rumah berkenaan.
“Sejurus memastikan keadaan selamat, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, perut dan badan kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum membuat laporan di Balai Polis Setapak,” katanya.
Sumber: Harian Metro
0 comments:
Post a Comment