Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, May 5, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Bermula 15 Mei ini, kerajaan akan menguatkuasakan daftar pembeli pukal sebagai langkah membendung pembelian hartanah secara berkumpulan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ia merupakan inisiatif khas kerajaan untuk memastikan kestabilan harga rumah di pasaran, sekaligus membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

Peraturan itu memerlukan pemaju untuk mendaftar nama pembeli empat buah rumah serentak kepada pihak kementerian, katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Yunus Kurus di Dewan Negara di sini, hari ini.

Yunus bertanya mengenai langkah kementerian dalam membendung kegiatan pembelian secara berkumpulan oleh pihak tertentu dikenali ‘Kelab Pelabur Hartanah’ yang membuat pembelian hartanah baharu daripada pemaju pada nilai yang lebih rendah sebelum menjualnya dengan harga lebih tinggi.

Abdul Rahman berkata penguatkuasaan itu merupakan tambahan kepada inisiatif sebelum ini iaitu pengenalan nisbah pinjaman kepada nilai 70 peratus terhadap individu yang memiliki lebih daripada dua pinjaman perumahan sejak 2010.

“Kementerian juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memantau aktiviti memanipulasi harga hartanah seperti yang dipersetujui dalam pembentangan kertas kerja pada Majlis Perumahan Negara 13 Feb lepas,” katanya.

Menurutnya kementerian akan bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi memantau dan merangka strategi untuk mengawal ‘Kelab Pelabur Hartanah’ daripada terus menguasai pasaran hartanah.

Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak berhasrat menggubal undang-undang khas untuk menyekat aktiviti kumpulan itu kerana negara mengamalkan mekanisme pasaran bebas di mana harga ditentukan oleh permintaan dan penawaran.

Abdul Rahman berkata selain aktiviti manipulasi harga pasaran, peningkatan hartanah turut disumbang beberapa faktor lain termasuk lokasi, kos tanah, kos bahan binaan serta kemudahan yang disediakan pihak pemaju.

“Kita sedia mengkaji cadangan memperkenal peraturan baharu yang boleh menyekat pemberian diskaun kepada pembeli pukal untuk menghalang kumpulan itu membeli rumah dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment