Dua orang maut dalam nahas yang membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 29, Jalan Kuala Terengganu-Kota Baru kira-kira 10 pagi tadi.
Yang maut ialah pemandu lori Mohd Ghani Embong, 44, dari Wakaf Mesira, Tepoh dan pemandu kereta Perodua MyVi, Rohaiza Yusof, 35, dari Marang.
Seorang saksi berkata lori berkenaan yang hilang kawalan merempuh tiga kenderaan yang datang dari arah bertentangan, sebelum lori itu terjunam ke dalam gaung sedalam tiga meter.
Kereta yang dipandu Rohaiza dikatakan terbabas ke kiri jalan dan turut merempuh sebuah van sebelum keretanya turut terjatuh ke dalam gaung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamarul Bieza Mohd Kassim berkata pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kedua-dua kenderaan tersebut.
"Pemandu van itu selamat manakala pemandu sebuah kereta Proton Iswara iaitu seorang wanita cedera dan kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian itu. – Bernama, 5 Mei, 2014.
0 comments:
Post a Comment