Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, May 11, 2014

No Comment

KOTA KINABALU – Seorang pakar geografi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yakin penggunaan radar teknologi tinggi di pulau-pulau dan kapal maritim mampu memantapkan lagi kawalan keselamatan, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Pensyarah Kanan dan Ketua Unit Pusat Informasi Geografi (GIS) UMS Mustapha Abd Talip berkata ini kerana radar berkualiti memudahkan pasukan keselamatan negara mengesan pergerakan bot penjenayah yang cuba memasuki kawasan perairan negeri ini.

“Perairan negeri ini sangat luas yang menyukarkan pihak berkuasa untuk mengawalnya. Oleh itu, penggunaan radar yang lebih canggih dengan menambah frekuensi lebih tinggi di pulau-pulau dan lokasi tertentu boleh membantu mengawal kemasukan anasir-anasir jahat, termasuk kumpulan penculik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mustapha berkata kedudukan Sabah yang sangat dekat dengan negara jiran serta wujudnya ‘laluan-laluan tikus’ turut membawa kepada aktiviti penyeludupan dan ancaman jenayah merentas sempadan.

Beliau berpendapat penggunaan radar merupakan satu daripada pilihan terbaik bagi meningkatkan keberkesanan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang dipertanggungjawabkan menyelaras operasi pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah.

Esscom ditubuhkan pada 1 April tahun lepas susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tandou, Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

“Walaupun ESScom berjaya mengekang gelombang kedua pencerobohan pengganas Sulu, namun keupayaannya membanteras penculikan masih rapuh. Maka di sinilah letaknya kepentingan radar yang canggih selain menggunakan Kapal Terbang Tanpa Pemandu (UAV) bagi mengesan dan seterusnya mengambil inisiatif untuk mengawal keadaan,” katanya.

Mustapha berkata tiga insiden penculikan yang berlaku di Semporna dan Lahad Datu dalam tempoh enam bulan memberi pengajaran berharga kepada semua pihak terutama Esscom.

Dalam hal ini, beliau berkata tambahan anggota dan aset sahaja tidak memadai untuk memastikan kawasan Esszone selamat.

“Penjenayah (penculik) kelihatan serba mengetahui selok belok kawasan perairan. Mereka buat kajian dan hanya menunggu kita leka. Namun kita mampu mengesan kehadiran mereka lebih awal sekiranya kita mempunyai aset yang canggih termasuk radar,” katanya.

Mustapha berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian penculikan seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China yang dikenali sebagai Yang Zai Lin, 34,di Pulau Baik, Lahad Datu pada pukul 2.45 pagi 6 Mei lalu, selepas sebulan seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna.

Pada 2 April lepas, dua wanita iaitu seorang pelajar warga China, Gao Hua Yuan, 29, dan pekerja Resort Singamata, Semporna, dekat sini, Marcy Dayawan, 40, diculik sekumpulan penjenayah lengkap bersenjata api dan sehingga kini nasib kedua-duanya masih tidak diketahui.

Pada 15 November tahun lalu pula, seorang warga Taiwan dibunuh manakala rakan wanitanya diculik sekumpulan penjenayah di Pulau Pom Pom, Semporna sebelum dibebaskan kira-kira sebulan kemudian oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa UMS Prof Madya Dr Asmady Idris berkata kawasan topografi Sabah yang luas memungkinkan perkara- perkara tidak diingini termasuk insiden penculikan berlaku.

“Kedudukan geografi Sabah terdedah kepada ancaman seperti itu (penculikan) dengan kawasan perairan Esszone sepanjang 1,400km memungkinkan ancaman itu ada.

Namun penculikan itu bukan lumrah yang menyatakan keselamatan negeri ini terancam,” katanya.

Beliau berkata penubuhan Esscom membuktikan keseriusan kerajaan memastikan keselamatan negeri ini terpelihara selepas peristiwa kumpulan penceroboh dari Selatan Filipina mendarat di Kampung Tanduo tahun lepas.

“Pewujudan Esscom memadai untuk menyekat pencerobohan, bukan jawatankuasa itu tidak serius menjaga keselamatan tetapi mungkin perlu diperbaiki dan ditambah baik pada masa depan,” katanya.

Dari sudut pelancongan, katanya, kelebihan dan kekayaan yang terdapat di Sabah dengan pelbagai khazanah belantara, hasil bumi dan laut selain memiliki banyak destinasi pelancongan menarik khususnya di Semporna dan kawasan sekitarnya membawa kepada perkembangan pesat dalam sektor itu.

“Selain itu, Sabah dikelilingi jiran yang mempunyai hubungan baik seperti Filipina dan Indonesia,” katanya sambil menambah kerjasama semua pihak dialu-alukan bagi menangani isu keselamatan di negeri ini.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment