KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga pejuang kemerdekaan negara, Puan Sri Janaky Athi Nahappan, yang meninggal dunia akibat penumonia di kediamannya di sini, semalam.
“Sumbangan Puan Sri Janaky Athi Nahappan akan dikenang terutamanya sebagai anggota pengasas MIC,” kata Najib dalam entri Twitter beliau hari ini.
Janaky, bekas Senator dan antara pengasas MIC, meninggalkan seorang anak lelaki dan dua anak perempuan, lapan cucu serta seorang cicit.
Mendiang berusia 89 tahun.
Semasa hayatnya, mendiang menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam negara dan antarabangsa.
Pada 2000, mendiang menjadi wanita keturunan India pertama berasal dari luar India untuk menerima anugerah tertinggi negara berkenaan iaitu Padma Shri daripada Presiden India sebagai mengiktiraf kerja kebajikan dan sumbangannya kepada Tentera Nasional India (INA).
Selain politik, mendiang juga aktif dalam pelbagai pertubuhan sosial dan pertubuhan kebajikan dan merupakan bekas Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Selangor.
Sementara itu, Kerajaan India hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Ucapan takziah negara itu disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, T S Tirumurti ketika mengunjungi kediaman mendiang di Jalan Kuantan, Taman Tasik Titiwangsa, di sini untuk memberi penghormatan terakhir.
Tirumurti berkata, Janaky adalah antara tokoh legenda dalam sejarah India kerana perjuangannya untuk mencapai kemerdekaan.
“Mendiang adalah antara yang pertama saya mengunjunginya apabila mengambil alih tugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia.
“Sedikit yang saya sedar bahawa pertemuan pertama dengan dia adalah yang terakhir dan ia akan sentiasa menjadi kenangan. Sumbangannya kepada India dan Malaysia sudah pasti tidak akan dilupai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Upacara penghormatan terakhir selama sejam akan bermula 9.30 pagi esok di kediamannya sebelum jasadnya dibawa ke Krematorium Cheras di sini.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment