KUANTAN - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) bagi mengesan anggota militan yang bersembunyi di negara ini serta rakyat tempatan yang melindungi mereka.
Katanya PDRM juga sedang memantau mereka yang disyaki berbuat demikian.
"Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa sahaja yang didapati cuba melindungi anggota militan terbabit yang dikehendaki Interpol kerana pembabitan dalam kegiatan pengganas.
"Kita tidak menolak ada kes-kes pendududuk tempatan yang bersekongkol dan memberi perlindungan kepada anggota militan ini dan mereka yang terlibat ini sentiasa dalam pemerhatian polis," katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM ke-8 bersama Ketua Polis Negara sempena peringatan hari polis ke-207.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, PDRM tidak menolak kemudahan infrastruktur yang lengkap menjadi faktor anggota militan memilih negara ini untuk menjalankan kegiatan mereka.
"Bagaimanapun PDRM sentiasa membuka mata dan memantau pergerakan kumpulan dan orang-orang persendirian terbabit yang dilihat mengancam keselamatan rakyat dan negara.
"Tindakan segera akan diambil keatas mereka (militan) sebelum mereka melakukan apa-apa kemusnahan," katanya.
Akhir bulan lepas, 10 individu termasuk seorang wanita ditahan polis dipercayai terlibat dalam aktiviti militan yang berhubung kait dengan rangkaian Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah serta menerima latihan ala ketenteraan.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment