Tinjuan mendapati premis tidak lagi menjual Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat
Susu dengan Buah Badam Cadbury.
|
SHAH ALAM - Kebanyakan kedai runcit, serbaneka, pasar raya dan stesen minyak, di sini, peka arahan pihak berkuasa supaya menarik semula dua jenis coklat Cadbury yang disahkan mengandungi DNA babi.
Sinar Harian mendapati, premis mematuhi arahan itu dan tidak menjual serta mempamerkan produk itu di rak jualan masing-masing.
Mereka melahirkan kebimbangan bukan hanya kerana status coklat yang menimbulkan keraguan, malah dikhuatiri menyebabkan pengguna Islam keliru.
Seorang penyelia kedai serbaneka, Nur Azmira Azhar berkata, pihaknya menarik balik Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam serta-merta daripada rak jualan, Sabtu lalu.
“Kami tarik balik produk tersebut atas dasar prihatin. Buat masa ini, kami simpan coklat itu sehingga pihak Cadbury kutip semula.
“Masih ada lagi pelanggan yang bertanyakan tentang dua coklat itu kerana mereka menganggap isu itu khabar angin saja, dan kami sudah berikan penjelasan kepada mereka tentang perkara tersebut,” katanya.
Pemilik kedai runcit di Seksyen 17, di sini, Rahmatullah Mohd Sharif berkata, dia mengeluarkan dua jenis coklat berkenaan dari premisnya selepas pihak berkuasa mendedahkan dua jenis coklat berkenaan mengandungi porsin.
“Kawan saya yang mempunyai kedai runcit bukan sahaja tarik balik coklat itu daripada rak jualan, malah dia tidak jual semua produk jenama tersebut,” katanya.
Hasil tinjauan di kedai serbaneka 24 jam, didapati pengurusan premis ada mengeluarkan notis arahan supaya coklat Cadbury itu disimpan di stor penyimpanan dan tidak diletakkan pada rak pameran, malah, rak jualan yang dahulunya menempatkan coklat jenis itu kelihatan kosong.
Di sebuah pasar raya terkemuka dan stesen minyak pula, hanya sedikit gula-gula dan ‘wafer’ jenama Cadbury ada di rak pameran.
Ahad lalu, Cadbury Malaysia menarik balik jualan Cadbury Dairy Milk Hazelnut (nombor keluaran 200813M01H |2 yang tamat tempoh pada 13 November 2014) dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond (nombor keluaran 221013N01R |1 yang tamat tempoh pada 15 Januari 2015), daripada pasaran serta-merta.
Sumber: Sinar Online
0 comments:
Post a Comment