Mohd Helmi menunjukkan lakonan semula dua suspek yang menyorok di kaunter. |
SUBANG JAYA - Sebuah premis pengurup wang berlesen disamun empat lelaki bertopeng sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM30,000 dalam satu kejadian di Jalan SS15/5A Subang Jaya, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua berkata, kejadian berlaku kira-kira lima minit setelah premis dibuka oleh seorang pekerjanya.
Katanya, dipercayai suspek memakai topeng serta bersarung tangan masuk ke dalam premis dengan bersenjatakan sebilah parang dan sebatang kuku kambing.
“Suspek berjaya mendapatkan wang namun tidak berpuas hati dengan jumlah itu lalu bertindak melarikan pekerja tersebut dengan sebuah kereta. Mangsa juga dilaporkan dipukul di dalam kereta,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudiannya ditinggalkan di perhentian bas berdekatan kompleks membeli-belah Subang Parade.
“Difahamkan mangsa mengecam dua suspek dan kita dalam proses buat lakaran fotofit. Kes masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang kakitangan premis tersebut, Mohd Helmi Hamid, 28, berkata, ketika kejadian, dua suspek bertindak menyorok di bahagian kaunter depan, seorang cuba membuka pintu, manakala seorang lagi menunggu dalam kereta.
“Setelah berjaya masuk, mereka terus mengugut rakan sekerja saya supaya menyerahkan wang tunai yang berada di dalam peti besi,” katanya.
Sumber: Sinar Online
0 comments:
Post a Comment