LANGKAH gadis genit itu kelihatan tersusun sopan tatkala kakinya perlahan menerjah masuk ke dalam dewan utama Hotel Aloft, Kuala Lumpur baru-baru ini. Seraya tersenyum, mulutnya petah membutirkan kata maaf atas kelewatannya bertemu pihak media untuk sesi wawancara.
“Aduh, maaf ya, saya lewat sedikit,” tutur Fatin Shidqia Lubis, 18, sambil memperbetulkan kedudukannya di atas kerusi.
Tidak sampai setahun, kemenangan anak jati Jakarta ini dalam pertandingan pencarian bakat X Factor Indonesia telah memekarkan namanya bukan setakat di negara kelahiran sendiri, bahkan di seluruh rantau Nusantara. Pertama kali terbang ke Malaysia, Fatin singgah ke Kuala Lumpur selama lima hari bagi mempromosikan album sulungnya berjudul For You.
Merupakan protege kepada penyanyi terkemuka, Datuk Rossa, Fatin mengakui tidak menyangka dinobatkan sebagai juara musim pertama bagi pertandingan tersebut sekaligus membuatkannya dirinya dikenali di negara seberang.
“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur kerana dikurniakan rezeki seperti ini oleh Allah SWT. Sebelum bergelar penyanyi, saya sama sahaja seperti remaja lain. Selepas berpeluang mengikuti pertandingan X Factor Indonesia, kehidupan saya ternyata berubah,” ujar Fatin membuka bicara.
Walaupun sedikit terkejut dengan transisi yang dialaminya setakat ini, ujar Fatin, perubahan itu tidak sedikit pun mengganggu jadualnya pelajarannya ketika berada di sekolah.
“Saya akui, selepas menjadi penyanyi, saya lebih dikenali oleh khalayak umum. Ke mana saya pergi pasti ada yang mengenali. Namun, populariti itu tidak mengganggu tugas saya sebagai seorang pelajar,” ujarnya yang baru sahaja menduduki ujian nasional peringkat SMA.
Hijab
Menyentuh mengenai penampilannya yang sopan serta mengenakan hijab, pelantun lagu Aku Memilih Setia itu tidak kisah jika dia dianggap berbeza berbanding rakan-rakan seperjuangannya yang lain.
Katanya, apa yang berbeza adalah penampilan, bukan genre muzik yang dibawakannya.
“Saya tidak ambil pusing mengenai hal ini. Bagi saya, semua penyanyi itu sama sahaja. Kami menjadi penyanyi kerana kami suka dengan bidang ini. Kebetulan, saya memulakan karier dengan penampilan berhijab. Apapun, imej sebegini tidak menghalang saya untuk menyanyi pelbagai jenis lagu,” ungkapnya.
Begitupun, Fatin memberitahu, kelebihannya mengenakan hijab terletak pada kekerapan undangan yang diterima apabila tibanya bulan Ramadan.
“Penyanyi di Indonesia yang mengenakan hijab tidak ramai. Jadi, apabila tibanya bulan Ramadan, saya kerap diundang untuk menyanyi pada majlis-majlis berbuka puasa.
“Selain itu, pada hari-hari biasa, saya juga sering dijemput untuk memeriahkan majlis-majlis berunsur keagamaan,” ujarnya yang kini merupakan duta bagi butik fesyen Rabbani.
Amanah
Menyorot kembali kisah di sebalik kejayaannya di X Factor Indonesia, Fatin menyertai pertandingan tersebut ketika masih bergelar pelajar sekolah. Bagaimanapun, setelah meraih kemenangan pada usia yang sangat muda, popularitinya juga ternyata naik dengan mendadak.
Tidak gentar jika suhu popularitinya itu menjadi pemangkin kepada sebarang kontroversi dan cerita-cerita kurang baik, akui Fatin, dia percaya dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT terhadap jalan hidupnya sebagai seorang anak seni.
“Nama saya sudah dikenali sejak menyertai pertandingan X Factor Indonesia. Andai Tuhan telah menggariskan takdir saya sebegini, saya perlu mendukung amanah itu sebaik mungkin.
“Memang ada perasaan takut, tetapi jika perasaan itu dibiarkan berterusan, sampai bila pun saya masih berada di tempat yang serupa. Apa yang penting ialah jalannya perlu seimbang,” kata Fatin sambil tersenyum.
Bercakap mengenai hala tujunya sebagai seorang insan seni, Fatin memberitahu, dia mahu memberi fokus yang utama terhadap bidang nyanyian sebelum berfikir tentang perkara lain.
“Walaupun saya pernah membuat kemunculan istimewa dalam filem 99 Cahaya Di Langit Eropa, prioriti saya masih kekal sebagai penyanyi. Jika ditawarkan watak kecil, mungkin saya akan menerimanya. Tetapi jika diminta untuk berlakon sinetron, saya harus menolak,” ujar bakal penuntut jurusan Komunikasi Seni Persembahan di London School of Public Relations – Jakarta, Indonesia ini.
Minat Shila, Najwa
Sebelum sesi temu bual ini dijalankan, Fatin terlebih dahulu menghiburkan peminat-peminat bertuah menerusi sebuah showcase mini dengan membawakan beberapa buah lagu popularnya.
Selain itu, dia turut mendendangkan lagu Grenade, nyanyian asal Bruno Mars serta Patah Seribu yang dipopularkan oleh Shila Amzah. Ujar Fatin, dia begitu meminati penyanyi yang kini sedang membina nama di China itu.
“Saya suka dengan suara Shila. Saya sering menonton video-video yang dimuat naik olehnya di akaun YouTube.
“Personalitinya lucu dan kebolehannya menembusi pasaran antarabangsa memang mengagumkan. Lebih-lebih lagi dia turut menyanyikan lagu Grenade dalam salah satu pertandingan yang disertainya,” ujar Fatin yang turut meminati Datuk Siti Nurhaliza dan Najwa Latif.
Pesan Rossa
Walaupun telah lama meninggalkan pentas X Factor Indonesia, namun, nasihat dan pesanan yang diberikan oleh Rossa tidak pernah haus daripada kotak ingatannya.
“Teh Ocha (panggilan mesra Fatin kepada Rossa) banyak memberikan nasihat kepada saya. Jika saya menghadapi masalah sebelum membuat persembahan, saya pasti akan menghubunginya meminta kata-kata semangat.
“Ketika masih bertanding dulu, dia seperti sudah tahu apa yang ingin saya nyatakan walaupun saya belum mengeluarkan suara meminta nasihat daripadanya. Gayanya sudah seperti seorang ibu,” luahnya.
Selain nasihat mengenai kariernya sebagai penyanyi, Rossa juga turut mengingatinya agar selalu menjaga hati setiap orang yang bekerja dengannya.
“Dia sering berpesan supaya sentiasa merendahkan diri, jangan pernah sombong dengan sesiapa pun dan sentiasa berbuat baik dengan semua orang,” ujarnya menutup bicara.
Sumber: Kosmo
0 comments:
Post a Comment