LABUAN – Lebih 90 peratus daripada 10,000 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di seluruh negara sudah dilengkapi dengan sistem 1BestariNet yang dikendalikan oleh YTL Communications Sdn Bhd.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Yeoh Soo Keng, berkata sistem yang menjadi gerbang sesawang pembelajaran itu dijangka siap pada tahun ini.
“Sebagai contoh, daripada 27 buah sekolah rendah dan menengah di Labuan, masih ada dua buah sekolah lagi iaitu Sekolah Menengah Sains Labuan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha belum lagi dilengkapi sistem 1BestariNet tetapi ia sedang dilaksanakan,” katanya di sini, hari ini.
Yeoh ditemui pada Majlis Perasmian Hari Profesionalisme 1BestariNet peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang disempurnakan oleh Ahli Parlimennya, Datuk Rozman Isli.
Program 1BestariNet bertujuan menyediakan platform pembelajaran maya berasaskan teknologi awan dan sesuai dengan capaian internet kelajuan tinggi 4G di sini yang berada di tahap yang baik.
Yeoh berkata, menerusi penempatan 17 menara telekomunikasi di sebuah pulau kecil seperti Labuan akan memberi liputan internet meluas kepada seluruh penduduknya, sekali gus pengajaran dan pembelajaran tidak akan terganggu.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Labuan, Mistirine Radin, berkata pihaknya memberikan latihan penggunaan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) kepada guru teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di 27 buah sekolah di sini sejak Ogos tahun lalu.
Katanya, guru yang terbabit dalam latihan itu pula bertanggungjawab untuk menjadi penggerak kepada VLE dan melatih guru-guru di sekolah masing-masing, selain memberi penerangan kepada ibu bapa tentang aplikasi sistem itu.
Mistirine berkata, sehingga kini sebanyak 18 sekolah di pulau itu menerima komputer riba, 4G Chromebook daripada Kementerian Pendidikan bagi menggalakkan perubahan pembelajaran menggunakan internet dan teknologi komunikasi maklumat selain merapatkan jurang digital antara pelajar bandar dan luar bandar.
Menerusi 1BestariNet, semua sekolah akan dihubungkan dalam satu pangkalan pembelajaran tunggal menggunakan internet berkelajuan tinggi 4G dan pengguna diberi akses daftar ke dalam program itu.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment